Berita Terkini
recent

Bercuti bersama artis kesayangan

Siapa mampu menolak jika berpeluang bercuti ke luar negara bersama artis kesayangan.

Sudah pasti, detik itu paling dinanti peminat, lebih-lebih lagi mereka yang tergolong dalam kelompok fanatik.

Itulah yang cuba ditonjolkan dalam program travelog Ready, Set, Action.

Bukan sahaja artis berpeluang bercuti bersama peminat, pada masa sama, kembara mereka ke beberapa negara yang sudah ditentukan itu turut dirakam dan disiarkan di Astro Ria.

Menurut pengarah program, Rizal Risman, program yang bersiaran selama 13 episod itu menampilkan 13 selebriti bersama 13 peminat bertuah yang dipilih menerusi pertandingan khas #expeRIAnce.

“Peminat yang terpilih dalam program ini adalah mereka yang berkongsi video dengan cara paling menarik di Instagram mengenai hasrat mereka untuk bercuti dengan artis kegemaran.

“Secara tidak langsung, peluang keemasan sebegini adalah satu bentuk penghargaan kepada peminat yang selama ini menyokong perkembangan kerjaya artis kesayangan mereka,” katanya.

Antara barisan artis yang terbabit ialah Fikry Ibrahim, Hannah Delisha, Izzue Islam, Sharifah Sakinah dan Remy Ishak.


SAHARUL Ridzwan bersama peminatnya di Jogjakarta.
“Kami sudah memilih beberapa negara antaranya Turki, Korea Selatan, Indonesia, New Zealand, England dan Bulgaria,” katanya.

Jelasnya lagi, program terbabit bukan sekadar percutian tetapi juga pendedahan kepada golongan artis dan peminat untuk melihat lokasi penggambaran filem dan drama antarabangsa dengan lebih dekat.

“Kami bawa mereka ke tempat menarik yang pernah dijadikan lokasi penggambaran filem antaranya Dilwale,” katanya yang memulakan penggambaran sejak awal November lalu.

Kata Rizal lagi, program travelog ini juga boleh dilihat sebagai pentas pertukaran budaya.

“Ada satu segmen artis dikehendaki merasai sendiri pengalaman budaya masyarakat setempat. Jadi daripada situ mereka dapat mempelajari sesuatu yang baharu,” katanya yang memaklumkan penggambaran masih lagi berbaki sehingga 18 Januari depan.

Ready, Set, Action bertemu penonton setiap Selasa jam l 11 malam yang bersiaran selama 30 minit.

Episod berikut menyaksikan pelakon Fikry Ibrahim membawa peminat bertuahnya ke Auckland, New Zealand untuk meneroka tempat ikonik yang pernah menjadi lokasi filem terkenal The Chronicle of Narnia.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.