Azharina tidak mahu anak jadi penyanyi

BIARPUN bidang nyanyian adalah minat yang kini telah menjadi darah dagingnya, penyanyi Azharina mengakui tidak mahu anak angkatnya, Rahmat Azharin Azhar, 4, mengikuti jejak langkahnya.

Kata juara Gegar Vaganza musim ketiga ini, dia mahu anaknya itu menimba ilmu setinggi yang mungkin dan menjadi orang yang berjaya dalam hidup.

“Kalau dia minat saya takkan larang, tetapi saya mahu dia belajar tinggi-tinggi kerana dia mesti tahu ilmu itu sangat penting untuk masa depannya kelak.

“Saya berharap bila besar nanti anak saya tidak memilih nyanyian sebagai kerjayanya kerana saya tahu bagaimana mencabarnya bidang ini untuknya.

“Tapi itulah, mungkin disebabkan semenjak kecil dia sudah terdedah dengan nyanyian, jadi saya nampak dia menunjukkan minat ke arah itu kerana asyik menyanyi saja walaupun ketika sedang bercakap dengan saya,” ujarnya.

Menurut Azharina, dia bagaimanapun cukup terharu apabila anak lelakinya itu begitu teruja untuk memasuki sekolah biarpun pada awalnya dia belum bercadang untuk berbuat demikian kerana berasakan terlalu awal untuk anaknya.

“Hari-hari dia menangis nak pergi sekolah, jadi mahu tidak mahu saya terpaksa menunaikan hasratnya itu.


“Saya harap  minatnya kepada pelajaran berterusan dan sekali gus dapat menjadi seseorang bagus pada masa depan,” kata Azharina yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk anaknya.

Dalam pada itu, Azharina kini sedang sibuk mempromosikan album terbarunya yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

Tampil dengan lagu taruhan, Cinta Terbagi Dua, penyanyi yang mempunyai suara unik ini mengharapkan agar ia diterima baik peminat yang selama ini menantikan buah tangan terbaru.

“Kalau penerbit album ini, Julfekar meletakkan jangkaan yang begitu tinggi terhadap lagu ini sebagaimana Elergi Sepi, saya sudah cukup bersyukur jika lagu ini berjaya berada di hati para peminat saya.

“Insya-ALLAH dalam masa yang terdekat ini, lirik video rasmi lagu ini akan dilancarkan di Youtube dan diikuti dengan muzik video selepas itu.

“Sebenarnya album ini begitu sentimental buat saya kerana saya kembali bergandingan dengan penerbit dan komposer Julfekar yang banyak membantu saya mencipta nama dalam industri seni selama ini,” jelasnya.
Azharina tidak mahu anak jadi penyanyi Azharina tidak mahu anak jadi penyanyi Reviewed by Kakigosip on 05:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.