Berita Terkini
recent

Ayu Damit serah pada rezeki

BERGELAR usahawan tani, penyanyi Ayu Damit berhasrat mengembangkan lagi tanaman cili fertigasi yang diceburinya sejak dua tahun lalu.

Ketika ini, selebriti berusia 29 tahun ini sedang mengusahakan tanaman cili fertigasi di ladang berkeluasan 1.4 hektar di Batu 22, Hulu Langat.

“Siapa sangka, tanaman cili sangat menjadi dan mendapat permintaan tinggi.

“Sehari, saya mampu menjualnya sehingga 200 kilogram (kg) di pasar borong di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Untuk itu, saya bercadang mengembangkan lagi tanaman ini dan sedang berusaha mencari tanah lebih luas,” katanya pada Sinar Harian.

Menurutnya, tanaman cili fertigasi itu merupakan hasil usaha kerasnya dan suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin menerusi syarikat, Enigma Agro Farm.

“Saya dan suami memang aktif bertani, sejak beberapa tahun lalu. Sebelum ini, kita mencuba menanam kelapa dan nenas, tapi sayangnya ia tak menjadi.

“Selain tanaman cili fertigasi, kita juga ada menanam tanaman lain seperti rock melon dan timun, cuma permintaannya tak serancak cili,” katanya.

Beralih kepada kerjaya seninya, pelantun lagu Hanya Di Mercu ini mengakui masih lagi bergiat aktif.

Malah, pemilik nama sebenar, Norayu Damit ini merancang untuk mengeluarkan sebuah mini album, tidak lama lagi.

“Saya dah ada beberapa lagu baru. Dah siap pun. Tapi, saya tak berpuas hati dengan hasilnya.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk menangguhkannya seketika dan membuat susunan semula terhadap lagu tersebut.

“Insya-ALLAH, genrenya masih lagi berentak balada dan saya juga mengimpikan untuk menghasilkan lagu ketuhanan,” katanya.

Sekalipun Ayu pernah mencipta kegemilangan dalam industri, namun percaturannya dilihat kurang menjadi, sejak kebelakangan ini.

Tidak berputus asa, juara program realiti One In A Million musim kedua (OIAM2) ini, sebaliknya menyerahkan soal tersebut pada ketentuan Tuhan.

“Dalam industri seni, semuanya bergantung pada rezeki. Kala tak ada rezeki, kita tak boleh salahkan sesiapa. Dan...kita juga tak akan tahu sampailah kita berjaya.

“Saya sendiri tak pernah berputus asa. Kalau saya give up, mungkin, saya tak berada di sini lagi.

“Sama juga dalam bisnes, saya pernah gagal tapi gagal sekali bukan bermakna jatuh berkali-kali, tapi kita akan terus berusaha bersungguh. Ia mendorong untuk saya lebih kuat semangat,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.