Berita Terkini
recent

Ayu Damit bakal muncul dengan album baharu

JUARA program realiti ‘One In A Million’ musim kedua (OIAM2), Ayu Damit bakal membuat kemunculan semula dengan menampilkan mini album terbaharu selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

Mempertaruhkan lima lagu terbaharu dalam album itu, Ayu atau nama sebenar Norayu Damit akan mengekalkan genre balada yang menjadi kekuatannya.

“Tiga lagu sudah dirakam iaitu Cinta Terakhir, Pelengkap Hati serta single Beauty Till Jannah yang telah keluar radio. Saya masih recording dua lagi lagu,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu rancangan Nine11 terbitan Bernama News Channel hari ini.

Antara komposer dan pemuzik yang terlibat dalam pembikinan album itu ialah Ain Amira, Awil Rafael dan Amar.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu itu mengakui, semangatnya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian tidak pernah bernoktah biarpun terpaksa menempuh pelbagai halangan.

Anak jati Sabah itu berkata kekangan kerja dan kesibukan dengan perniagaan cili padinya selain komitmen keluarga membuatnya tidak mudah bergerak.

Ketika ini, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut merasakan kira-kira lapan tahun menyepi selepas album terakhir 2010 tidak mematahkan semangat untuk melakukan sesuatu yang baharu dalam hidup ini.

“Dalam industri seni, semuanya bergantung pada rezeki. Saya sendiri tak pernah berputus asa. Kalau saya give up, mungkin, saya tak berada di sini lagi.

“Sama juga dalam bisnes, saya pernah gagal tapi gagal sekali bukan bermakna jatuh berkali-kali, tapi kita akan terus berusaha bersungguh. Ia mendorong untuk saya lebih kuat semangat,” katanya.

Sementara itu, Ayu berhasrat untuk mengadakan perjumpaan semula rakan-rakan artis yang pernah menyertai OIAM2 pada 2008 dalam majlis hi-tea.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.