Atasi masalah pelakon 'kayu'

Lebih dua dekad bergelar pelakon dan melihat pelbagai isu yang perlu ditangani segera, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof mahu mengambil langkah memperbaiki kelemahan yang ada.

Antara yang disifatkan bermasalah ialah pengurusan bakat dalam kalangan bintang baru tempatan yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

“Saya sudah banyak kali berhadapan dengan anak seni yang tiada ilmu mengenai industri kreatif.

“Saya selalu berhadapan dengan situasi yang kadang kala mengambil masa dua tiga jam di set penggambaran hanya sebab mahu beri tunjuk ajar kepada bakat baru.

“Ada yang sukar untuk menerima ilmu serta perkongsian kita dan berlarutan sehingga berjam lamanya sebelum sesuatu babak itu dapat dilakukan,” katanya.

Beliau pernah berdepan dengan situasi pelakon terpaksa ditukar, jadual berubah dan terpaksa menunggu lama.

Baginya, itu hanya membuang masa pelakon lain yang sudah lama bersedia.

Katanya, oleh kerana mereka bekerja dalam jangka masa tertentu, jadi terpulang kepada budi bicara masing-masing untuk menyiapkan tugasan diberikan atau mengurangkan waktu kerja untuk mendapatkan rehat secukupnya.

Apatah lagi rehat adalah antara perkara utama yang perlu sebagai pelakon. Andai terlalu penat, kualiti persembahan akan menurun.

“Kebetulan saya bertemu dengan Idham (Ahmad Idham) minggu lalu dan menjalankan sesi uji bakat baru bagi membintangi filem berjudul Townmall.

“Di situlah tercetus idea untuk membincangkan perihal ini secara serius.

“Perkara ini sudah diutarakan Idham sedari dua tahun lalu. Kali ini kami ambil keputusan untuk duduk berbincang mencari solusi terbaik bagi mengatasi masalah ini agar tidak berterusan,” katanya.

Hasil cetusan idea mereka, Eizlan dan Idham bersetuju menyediakan laluan di bawah Aifa Talent Management (Pengurusan Bakat Aifa) di mana mereka akan mencari bakat baru untuk diberikan ilmu dan pengalaman.

Beliau juga mahu membuka ruang itu kepada pelakon baru yang mahu menimba ilmu teori dan praktikal untuk persiapkan mereka agar lebih bersedia di dalam industri kreatif.

Tegasnya, pelakon baru semakin bercambah tetapi kebanyakan mereka tidak faham mengenai kehendak sebenar industri kreatif.

Melalui pengurusan bakat itu, mereka akan diberikan pendedahan teori dan praktikal.

“Kebetulan Idham akan memulakan penggambaran dua filem tidak lama lagi. Secara tidak langsung mereka akan diberikan keutamaan di bawah pengurusan kami.

“Kami juga tidak hadkan hanya berlakon di bawah Aifa tetapi akan dibuka kepada produser yang mahukan khidmat mereka untuk teroka segala sudut dalam industri kreatif,” katanya sambil menambah, peluang itu termasuk muncul sebagai artis rakaman.

Katanya, jika artis baru mempunyai kelebihan dalam bidang ini, mereka akan dibentuk agar lebih jelas hala tuju serta faham kehendak di set, bukan sekadar datang ke set penggambaran tanpa tahu apa patut dilakukan.

Eizlan yang berlakon lebih 40 filem setakat ini mengakui perkara itu perlu diberi perhatian kerana semua produser mahu bakat baru yang bersedia dan tahu tanggungjawab masing-masing bagi menjimatkan masa dan kos.

“Dua perkara penting dalam industri ini adalah masa dan kos. Jika ambil masa terlalu lama, tenaga untuk berlakon akan ‘habis’ dan kreativiti akan menurun selain kos meningkat,” katanya.

Tambah Eizlan, syarikat pengurusan sedia ada banyak melahirkan bakat baru tetapi soal pendedahan serta ilmu yang sepatutnya diterapkan kepada golongan itu kurang.

Katanya, beliau tidak mengatakan pengurusan bakat sedia ada gagal, cuma sekiranya bakat yang disediakan berjaya sebagai anak seni berbakat besar, tidak wujudlah situasi yang dimaksudnya itu.

“Di mana kredibiliti mereka yang menjadi tulang belakang pengurusan bakat? Mereka seolah-olah mencari orang luar dan penuhi ruang kosong tanpa memberi pendedahan kepada orang baru.

“Bakat lain wajib ambil tahu kebajikan dan ilmu ini, jika mereka mahu dan pandai bawa diri memang saya alu-alukan tetapi kenapa ia masih berlaku?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa bintang baru tidak diberikan pendedahan sedangkan ada banyak syarikat pengurusan artis mutakhir ini.

Tegasnya sekali lagi, semua pihak berkaitan perlu ambil berat perihal ilmu dan tip wajib yang perlu diketahui artis baru supaya tidak menyusahkan produksi pada masa depan.

Bercakap mengenai corak pengurusan bakat kendaliannya nanti, setiap artis yang menyertainya akan digredkan terlebih dahulu.

Tujuannya untuk memberi cabaran kepada bakat lain agar lebih berusaha supaya meraih gred lebih baik.

Corak pengredan akan dilakukan pengurusan Aifa Talent Management mengikut kesungguhan artis menimba ilmu dan pengalaman masing-masing.

“Perkara ini sudah dimulakan cuma menanti masa untuk jadikan ia rasmi. Jika tiada aral, operasi akan bermula Februari depan,” katanya.

Perkembangan karier, Eizlan yang baru sahaja muncul dengan drama Dendam Aurora kini menjalani penggambaran drama 19 episod berjudul Melankolia untuk slot Samarinda, TV3.

Drama arahan Shuhaimi Zulkifli terbitan Orange Tree itu turut dibintangi Noni AF dan Aliz Aziz.

Eizlan juga mempersiapkan diri untuk muncul dalam filem seram adaptasi novel, Townhall pada Februari depan.
Atasi masalah pelakon 'kayu' Atasi masalah pelakon 'kayu'  Reviewed by Kakigosip on 06:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.