'Amat mengejutkan saya'

Sudah lama tidak beraksi dalam showcase, penyanyi sensasi awal 1990-an, Zaiton Sameon meluahkan rasa puas hati selepas menghiburkan tetamu pada acara Nostalgia Bersama Zaiton Sameon di Restoran Rebung, Isnin lalu.

Kehadiran peminat setia termasuk dari Singapura yang memenuhi restoran itu menjadi bukti kelibat Zaiton amat dirindui semua. Tidak terkecuali kehadiran rakan lama dalam industri antaranya Datuk Khatijah Ibrahim, Habsah Hassan, Siti Fairuz, Mek Habshah dan komposer A Alii turut membakar semangat Zaiton memberikan persembahan terbaik petang itu.

“Saya bertuah kerana diberi peluang membuka tahun baru dengan persembahan ini. Syukur kerana ramai kawan yang datang menyokong dan tak terkecuali dapat berjumpa semula A Ali.

“Apa yang berlaku sangat mengejutkan dan saya amat berterima kasih dengan sokongan diperlihatkan semua. Saya berdoa kepada Allah SWT agar memberikan rezeki lebih tahun ini. Saya akan buat ‘comeback’ sepenuhnya dalam bidang seni. Alhamdulillah setakat ini, jadual untuk persembahan juga sudah terisi,” katanya.

Zaiton, 60, yang popular dengan lagu Menaruh Harapan mengakui tidak mengambil masa lama untuk membuat latihan bagi showcase ini.

“Saya hanya berlatih beberapa hari. Bagaimanapun, kehadiran A Ali yang bermain gitar mengiringi persembahan saya agak mengejutkan. Saya serius dalam persembahan ini dan sedaya upaya memberikan yang terbaik agar peminat terhibur dan puas hati,” katanya.

Pada persembahan itu, Zaiton menyanyikan tujuh lagu iaitu Turutkan Hati, Kabut Serangkai Mawar, Hot Stuff, Rindu Pelukan Bonda (berduet dengan Syed Wafa), Berendam Air Mata, Menadah Impian dan Menaruh Harapan (diiringi petikan gitar A Ali).

“Persembahan ini mengembalikan banyak nostalgia. Ketika menyampaikan lagu Menaruh Harapan, secara automatik saya teringat kenangan ketika rakaman bersama A Ali.

“Dia sangat tegas ketika di studio dan amat menjaga ‘pitching’. Dengan ketegasannya, Menaruh Harapan meletup. Banyak kenangan terhasil menerusi lagu ini,” katanya.

Pujian wajar diberikan kepada Zaiton kerana berjaya menghiburkan tetamu dalam program anjuran De Media And Event Entertainment dengan kerjasama Restoran Rebung ini.

Showcase itu bertujuan membantu Zaiton menerusi jualan meja apabila hasilnya diberikan sepenuh kepadanya.

Kembali bergabung dengan A Ali

Dalam pada itu, Zaiton turut tampil dengan berita gembira apabila bakal bergabung semula dengan A Ali untuk single terbarunya.

Dia turut membayangkan lagu itu menjadi sambungan kepada lagu Menaruh Harapan yang meledakkan nama mereka di persada seni suatu ketika dulu.

“Kerana lagu berhantu itulah saya kekal berada dalam industri hiburan. Sebenarnya selepas lagu Menaruh Harapan, kami tak pernah berjumpa sehinggalah pada majlis ini.

“Rupanya Abang Ali sudah ada perancangan mencipta lagu untuk saya dan liriknya ditulis Kak Chah. Mereka berdua yang menaikkan saya dan ia sesuatu yang amat ditunggu.

“Insya-Allah saya cuba buat yang terbaik untuk lagu ini. Diharapkan ia dapat menempatkan semula nama saya dalam industri,” katanya.
'Amat mengejutkan saya' 'Amat mengejutkan saya'  Reviewed by Kakigosip on 19:47:00 Rating: 5
Powered by Blogger.