All the Money in the World di mata Michelle Williams

BELUM pun ramai yang memuji keberkesanan lakonan Michelle Williams menerusi filem muzikal, The Greatest Showman, para pencinta filem dunia bakal disajikan dengan sebuah lagi filem yang diilhamkan daripada sebuah kisah benar berjudul All the Money in the World yang sekali lagi menampilkan aktres hebat tersebut sebagai pelakon utamanya.

Bagaimanapun, pembawaan watak Michelle menerusi All the Money in the World jauh berbeza dengan peranannya sebagai Charity Barnum dalam The Greatest Showman.

Kali ini, bintang asal Montana, Amerika Syarikat ini mendukung watak sebagai Gail Harris, iaitu ibu mangsa kepada satu penculikan yang paling tragis pernah direkodkan.

Selain Michelle, pelakon hebat lain yang turut membintangi filem yang bakal ditayangkan hujung bulan ini ialah Christopher Plummer, Mark Wahlberg dan ramai lagi.

Diarahkan Ridley Scott yang sebelum ini popular menerusi filem mega seperti Gladiator dan The Martian, filem ini menelan kos perbelanjaan sekitar AS$40 juta.

Meskipun pembikinan filem tersebut berhadapan dengan beberapa isu dan kontroversi misalnya hal melibatkan perubahan barisan pelakon, namun semuanya berjalan dengan lancar apabila rata-rata pemerhati filem memberi maklum balas yang terbaik terhadap filem ini.

Malah, ramai yang mengagumi jiwa Gail Harris yang dipegang Michelle.

Ditanya mengenai hal tersebut, Michelle tidak menganggap perubahan pelakon utama pada saat akhir sebagai masalah besar kerana situasi berkenaan pasti akan berlaku di dalam mana-mana sahaja produksi.

“Saya tidak melihat hal tersebut sebagai suatu besar. Itu adalah suatu hal yang normal dan boleh berlaku terhadap mana-mana produksi. Jadi apabila diberi peluang berlakon menggantikan pelakon asal, kita cuba lakukan yang terbaik dan dalami watak sepanjang penggambaran,” katanya.

Terdahulu ada sumber mengatakan watak Gail Harris sepatutnya dibawa seorang lagi pelakon versatil, Natalie Portman. Namun bintang tersebut terpaksa menolak tawaran berkenaan atas alasan mempunyai komitmen lain. Selain Natalie, watak awal Kevin Spacey turut ditukar.

Gemar cuba pelbagai watak
Sementara itu, Michelle yang sedia dikenali di Hollywood sebagai antara pelakon wanita berbakat besar dengan senarai pencalonan anugerah pelakon terbaik yang tidak putus-putus, wanita berusia 37 ini berterima kasih buat pengarah filem itu, Ridley Scott kerana memberi kebebasan buatnya untuk berkarya.

“Saya sudah banyak berlakon di bawah pengarah hebat dan Ridley ialah salah seorang daripadanya. Bagi saya, dia seorang yang memahami dan menghargai bakat lakonan yang kita ada. Di set, saya panggil dia ‘bos’ meskipun kami merupakan kawan rapat.


“Cuma ketika di set, dia tidak penah meletakkan itu sebagai batasan dan dia memberi kebebasan untuk saya bawa watak tersebut ikut cara sendiri selepas melakukan sesi latihan. Daripada situ, kita dapat bekerja dengan baik dan Ridley juga percaya dengan kebolehan para pelakonnya,” kongsi Michelle seperti yang dipetik menerusi sebuah temu bual.

Terkini, Michelle sibuk di lokasi sebuah lagi penggambaran filem super hero berjudul Venom. Sinonim dengan watak berat dan drama, Michelle mengakui dia tidak mahu statik dengan sesebuah watak hampir serupa.

“Bagi saya naskhah Venom bagus dan tidak salah untuk cuba kerana rasanya peranan saya juga hebat di dalam filem itu. Jadi saya hanya mahu buat yang terbaik dan have fun saja. Pada masa sama, saya juga mahu cabar diri berlakon di dalam sesebuah filem yang di luar daripada zon selesa saya,” kongsinya.

Inspirasi kisah benar
Terdahulu, All the Money in the World mengangkat naskhah Painfully Rich: The Outrageous Fortunes and Misfortunes of the Heirs of J Paul Getty tulisan John Pearson pada tahun 1995. Filem ini mengisahkan mengenai konflik sebuah keluarga bangsawan berketerunan Monaco, Paul Getty. Apabila anaknya John Paul Getty III yang berusia 16 tahun diculik, Gail yang terdesak cuba meminta bapanya, seorang taikun minyak untuk membayar wang tebusan anaknya.

Pun demikian, bapanya menolak permintaan Gail dan wanita itu terpaksa bekerjasama dengan pengurus bapa dan bekas ejen CIA, Fletcher Chase, untuk mengubah pendirian bapanya itu.

Diajukan persoalan mengenai apakah yang akan dilakukannya andai mempunyai wang yang cukup banyak, Michelle secara spontan memberitahu jika dia punya wang terbanyak, dia mahu membayar yuran semua pelajar di kolej!
All the Money in the World di mata Michelle Williams All the Money in the World di mata Michelle Williams Reviewed by Kakigosip on 05:20:00 Rating: 5
Powered by Blogger.