Berita Terkini
recent

Zeyad bawa konsep nasyid patriotik

LARI daripada kebiasaan, kumpulan nasyid Zeyad tampil berkonsepkan nasyid patriotik.

Bahkan, Zeyad ditubuhkan rentetan peristiwa Intifada Palestin (penentangan rakyat Palestin terhadap pendudukan Israel ke atas Wilayah Palestin) pada 2012 yang dianggotai Mohd Hafif Samsudin (Hafif), Muhammad Hussaini Khairudin (Hussaini), Nu’man Hani Jamal (Nu’man), Muhammad Taufik Diron (Taufik), Ahmad Ubaidah Azmi (Ubay) dan Ahmad Fahim Wan No’man (Fahim), pada 2013.

Ketua kumpulannya, Hafif berkata, Zeyad ditubuhkan atas dasar kepedulian terhadap ummah.

“Nama Zeyad diinspirasikan daripada kisah seorang general dan juga gabenor Muslim di zaman Umayyah iaitu Zeyad ibn Sufyan. Beliau berjaya menghalang pemberontakan Parsi semasa pemerintahan Mu’awiyah.

"Zeyad juga bermaksud ‘tinggi’ sekali gus melambangkan semangat tinggi menyanyikan lagu berkenaan,” katanya pada Sinar Harian.

Seiring dengan itu, katanya, Zeyad terus memperjuangkan konsep nasyid patriotik yang menyeru pendengar untuk lebih bersemangat dalam melakukan gerak kerja sama ada secara individu, masyarakat, agama mahupun negara.

“Setiap lagu yang dihasilkan memberi satu semangat baru seterusnya menanam rasa cinta dan sayang kepada pendengar, kerana itulah konsep lagu dan iramanya rancak dan catchy,” katanya.

Jelasnya, Zeyad sudah menghasilkan tiga single iaitu Nahnu Ansorullah (2015), Suara Intifada (2016) dan terbaru, Srikandi Besi ilham daripada pengalaman penuh getir Dr Fauziah Hasan yang menyertai misi kemanusiaan Women’s Boat to Gaza, tahun lalu.

Menurutnya, lirik single ini mendapat sentuhan Pengerusi MyCare, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor manakala melodinya hasil ciptaan Nu’man dan susunan muziknya pula oleh Ronny Rahmat di Indonesia.

Hafif berkata, lagu ini juga adalah satu seruan kepada masyarakat terutama golongan muda untuk sama-sama berjuang menindas keganasan.

“Jika wanita yang sudah lanjut usianya pun mampu melakukannya, kenapa kita tidak?,” katanya.

Bukan itu sahaja, Zeyad juga sempat merakamkan single terbaru, Adiwiraku, sempena sambutan Maulidur Rasul, tahun ini.

“Menariknya, single ini turut menggabungkan 15 kumpulan nasyid muda yang lain seperti  Simfoni, Rabithah, Damai, Pawana, R-if dan ramai lagi,” katanya yang turut berkongsi kumpulan ini juga berhasrat menghasilkan album penuh, satu hari nanti.

“Apa yang kita harapkan, agar lagu yang kita bawakan dapat memberi input atau nilai positif pada masyarakat dan ia bukanlah sekadar berhibur semata-mata.

“Tetapi, setiap lagu itu dinilai daripada bait-bait lirik dan iramanya sekali gus mampu menggerakkan masyarakat untuk membuat satu perkara positif,” katanya.

Positif bersaing

Dalam pada itu, menyedari usia yang masih ‘hijau’ dalam industri, Zeyad turut menghadiri kelas vokal di bawah tunjuk ajar Cikgu Siti Hajar.

Kata Hafif, keputusan itu dilakukan demi mempertingkatkan lagi kualiti vokal dan persembahan mereka.

“Inilah masa terbaik untuk kita semua mempertingkatkan lagi kualiti vokal. Lagi pula, kita juga sudah membuat lebih 50 persembahan di seluruh negara, sepanjang lima tahun berada dalam industri,” katanya.

Jelasnya, walaupun mempunyai komitmen kerjaya, ia tidak menghalang ahli Zeyad untuk terus berkarya dan merancang perjalanan seni mereka.

“Memang kita daripada latar belakang berbeza dan ada komitmen masing-masing.

“Tapi, dalam masa sama, setiap ahli sudah menetapkan Zeyad sebagai satu keutamaan dan biasanya, kita akan berjumpa dua kali dalam seminggu,” katanya.

Bukan itu sahaja, katanya, Zeyad juga bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan penggiat seni tanah air yang berpengalaman.

Katanya, kumpulan itu juga melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti Munsyid Malaysia melalui pelbagai aktiviti mahupun projek nasyid gabungan.

Bahkan, katanya, kumpulan ini juga menganggap rakan-rakan nasyid sebagai rakan sekerja yang bersama-sama mendukung industri nasyid tanah air.

“Kita tiada masalah dengan persaingan sebab itu satu nilai tambah.

“Lagipun, pasaran nasyid sangat luas dan kita pula punya hala tuju dan kumpulan sasaran yang berbeza,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.