Zac Efron kembali ke naskhah muzikal

KALI terakhir aktor kacak ini muncul di dalam drama atau filem berbentuk muzikal adalah menerusi siri yang mencetuskan fenomena, The High School Musical lebih sedekad lalu. Sejak itulah, selebriti berusia 30 tahun ini meraih populariti yang menakjubkan di Hollywood.

Bukan hanya perkembangan seninya saja, malah setiap inci pergerakan Zac menjadi buruan paparazi dan peminat dek limpahan glamor sebagai aktor kelas A Hollywood.

Selepas siri berkenaan, Zac berada dalam posisi mengembangkan kerjaya lalu berlakon di dalam filem hits Hollywood yang bukan  genre muzikal. Mungkin kerana figuranya yang mudah ‘menangkap’ mata dan hati peminat wanita, Zac sering ditawar mendukung watak humor mahu pun romantik seiring dengan usianya.

Antara filem selepas High School Musical yang berjaya menaikkan namanya ialah The Lucky One, That Awkward Moment dan Baywatch di samping Dwayne Johnson dan Priyanka Chopra.

Bagaimanapun, setelah sekian lama menyepikan diri, aktor asal California, Amerika Syarikat itu kembali beraksi menerusi sebuah filem muzikal, The Greatest Showman. Berbeza dengan siri filem The High School Musical, The Greatest Showman memaparkan sisinya yang lebih dewasa dan matang.

Apatah lagi, filem hebat ini turut didukung oleh pelakon berkaliber, Hugh Jackman dan Michelle Williams.


Mengulas lanjut mengenai penglibatannya di dalam filem berkenaan, Zac mengakui cukup teruja untuk kembali menyanyi dan berlakon pada masa sama, selain dapat bekerjasama dengan pelakon yang turut menjadi idolanya.

“Sudah tentu ini merupakan antara pengalaman manis. Dapat menjayakan sesuatu yang sudah lama tidak dilakukan tetapi dalam situasi yang begitu berbeza. Saya bertuah kerana berpeluang berlakon dengan pelakon senior yang sukses,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah temu bual.

Dedah punca ambil tawaran berlakon
Kongsinya lagi, antara faktor lain yang turut mendorongnya melibatkan diri di dalam filem tersebut adalah kerana pengarah dan mesej yang ingin disampaikan.


“Selain pelakonnya, saya cukup selesa dengan pengarah pengarah (Michael Gracey) dan makna besar di sebalik The Greatest Showman. Zendaya juga berikan komitmen terbaik dan apakah yang lebih bernilai selain dapat sampaikan mesej yang penting kepada penonton,” katanya lagi.

The Greatest Showman yang diilhamkan daripada sebuah kisah benar mengisahkan P.T Barnum, lakonan Jackman ketika mencipta sarkas tiga gelanggang, Ringling Bros dan Barnum & Bailey Circus yang menjadikannya sebagai seorang penghibur terkenal. Selain sukses dalam kerjaya, dia turut mengalami beberapa konflik dalam hidupnya. Salah satunya ialah obsesi terhadap Jenny Lind (Rebecca Ferguson) iaitu seorang penyanyi yang turut digelar Swedish Nightingale.

Filem hebat ini yang sepatutnya ditayangkan pada Februari lalu khabarnya akan mula menjengah pawagam hujung bulan ini.

Trivia Zac Efron



Kerjayanya bermula sekitar awal tahun 2000 apabila berpeluang memegang watak ekstra untuk beberapa program televisyen popular seperti ER dan The Guardian.

Kemuncak popularitinya diraih pada 2006 apabila siri The High School Musical menjadi kegilaan penonton remaja. Malah, runut bunyi untuk siri berkenaan juga pernah direkodkan sebagai album paling laris di Amerika Syarikat.

Tahun lalu, Zac turut memenangi anugerah Choice Comedy Movie Actor di Anugerah Teen Choice menerusi filem Baywatch.

Terkini, aktor tersebut khabarnya memberi bayangan akan memegang watak pembunuh bersiri, Ted Bundy di dalam filem akan datang. Menguatkan lagi berita tersebut, beberapa gambar kandid Zac yang menyimpan kumis persis pembunuh bersiri berkenaan dirakam lensa paparazi.
Zac Efron kembali ke naskhah muzikal Zac Efron kembali ke naskhah muzikal Reviewed by Kakigosip on 06:23:00 Rating: 5
Powered by Blogger.