Berita Terkini
recent

Vicha luah rasa kecewa

Sedih dan kecewa. Itu perasaan pelakon dan pelawak popular, Revika Novianti Faturohman, 29, atau Vicha Saywho tatkala menceritakan pengalamannya berlakon dalam sebuah produksi drama tempatan, baru-baru ini.

“Saya sepatutnya ke London untuk menjalani penggambaran sebuah drama, tetapi tidak jadi apabila permit kerja tidak sempat siap kerana dibuat saat-saat akhir. Ikutkan pihak produksi yang perlu sediakan tetapi saya diminta membuatnya sendiri.

“Memang saya sangat kecewa dengan mereka. Saya sudah beritahu mereka untuk maklumkan awal sebab permit perlu dibuat beberapa bulan lebih awal tapi lagi tiga minggu nak berlepas, baru diberitahu,” katanya.

Disebabkan perlu mengurus dokumentasi itu sendiri, dia terpaksa membatalkan tugasan di konsert Gegar Vaganza (GV) kerana perlu pulang ke Indonesia.

Katanya, dia pulang ke sana bersama rakannya, Cita Citata yang juga diminta membuat permit sendiri kerana turut terbabit dalam drama sama.

Pelakon filem Kolestrol VS Cinta itu berkata, dia dan Cita membayar permit ‘priority’ pada harga RM2,700 setiap seorang.

“Mereka (produksi drama) berjanji akan beritahu maklumat selanjutnya pada Selasa. Tiba-tiba Jumaat minggu lalu, saya diberitahu nama sudah digugurkan. Nampaknya sia-sia saja saya berada dua minggu di Indonesia,” katanya sedih.

Vicha akui ia salahnya sendiri kerana menggunakan khidmat ejen, bukan terus ke kaunter Jabatan Imigresen untuk permohonan permit.

Katanya, sekiranya dia terus ke kaunter, bayaran hanya RM300 tetapi disebabkan mahu permohonan dipercepatkan, dia menggunakan khidmat ejen.

Dia akui ada memaklumkan situasi itu kepada pihak produksi dan mereka hanya berjanji akan menggantinya selepas mendapat pulangan semula wang tiket penerbangan.

Bukan saja kecewa tidak dapat ke London, Vicha juga kecewa kerana pihak produksi mempergunakan dia dan Cita untuk berlakon dalam drama itu pada bayaran yang tidak setimpal.

Katanya, dia dan Cita ditawarkan berlakon dalam tiga ke empat babak saja dengan bayaran RM2,500.

“Saya fikir logiklah dengan bayaran itu. Ditambah pihak produksi berjanji memberi tambahan RM1,000 untuk tujuan permit dan tiket penerbangan percuma ke London.

“Tiba-tiba saya diminta melakonkan dua watak dan terbabit dalam puluhan babak. Saya menangis, takkan bayar RM2,500 untuk semua itu?” katanya.

Menurut Vicha, daripada jumlah itu dan ditolak pula dengan kos permit serta penerbangan pulang ke Indonesia yang terpaksa ditanggungnya sendiri, jumlah bayaran diterima hanyalah RM800.

Sementara itu, Cita yang kini berada di London untuk penggambaran drama berkenaan menelefon Vicha dan mempersoalkan kenapa tiba-tiba saja dia perlu melakonkan banyak babak.

Vicha akui dia malu dengan Cita kerana dia yang membawa masuk rakannya itu berlakon dalam drama berkenaan.

“Cita telefon saya dan marah-marah. Dia tanya kenapa jadi begini? Dia yang pada asalnya dijanjikan dua tiga babak dengan bayaran sama terpaksa berlakon beberapa babak tambahan.

“Pihak produksi pula asyik memberi alasan supaya saya mengenang budi mereka kerana membawa saya masuk ke dalam industri hiburan di sini,” katanya.

Katanya, dia sedar ramai membantunya ketika pertama kali menjejakkan kaki dalam industri hiburan Malaysia tetapi mempergunakan alasan balas budi adalah tidak adil buatnya yang mencari rezeki halal di sini.

Enggan terus kecewa dengan pengalaman pahit dilalui, Vicha mahu jadikan isu itu sebagai pengajaran buatnya supaya lebih berhati-hati pada masa depan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.