Berita Terkini
recent

Usung nyawa 12 hari

GURUH berdentum, kilat bersahutan, ku singkap jendela, hujan makin lebat, rejim tentera Myanmar mundar-mandir depan rumah tanpa arah tujuan.

Hatiku gelisah. Sesekali ku usap kandungan berusia 6 bulan. Sabar ye nak, ayahmu sedang cari jalan untuk kita semua. Tapi mana suamiku. Masih hidup atau aku sudah bergelar janda.

Empat anak ku lena dalam kesejukkan selepas puas menangis kerana kelaparan. Pintu diketuk, suamiku atau si askar jahanam yang ingin menjamah tubuhku? Aku berserah.

“Kita lari malam ni juga, kejutkan anak-anak, jangan terpisah walau seinci” pesan suamiku.


Rabijah mengharapkan sinar buat Toskidah yang berusia 5 hari di kem pelarian Balukhali, Cox's Bazar, Bangladesh.
Tangannya ku genggam, anak-anak ku kejutkan. Sehelai sepinggang. Hanya berbekalkan sebuku roti.

Kami berjalan berkaki ayam, meredah hutan mahu ke sempadan.  Adakalanya perutku mencengkam.

Sesekali kami berteduh, anak merengek kelaparan. Diam tak diam sudah 10 hari kami begini. Jalan dan terus berjalan bersama ribuan manusia yang senasib.

Sampai di sempadan kami naik bot. Bersesak macam sardin dalam tin. Penghuninya cecah 45 orang dalam satu bot. Anak-anak erat bersamaku.

Kami berlayar tinggalkan neraka di Rothidaung. Layar malam bertemankan bintang sambil dialun gelombang. Sesekali suamiku usap kandungan yang makin besar.

Genap 12 hari perjalanan, kami tiba di Syamlabu, Teknaf. Ini syurga yang dijanjikan. Aku menghirup udara kebebasan di Cox’s Bazar.

Begitulah perjalanan Rabijah, 25, bersama empat anaknya. Ahad lalu, bayi perempuan dinamakan Toskidah selamat disambut daima (bidan) di kem pelarian Asean Village.

Bayi seberat 2.5kilogram itu masih mengelupas badannya dan dahagakan susu si ibu. Si ibu? Oh si ibu sudah kembali seperti biasa, tidak bertungku, tidak berpilis jauh sekali berbedak sejuk seperti orang Melayu.

Di sebalik kepayahan dugaan melahirkan, terukir senyuman tanda syukur. Kini Asean Village di bawah program SINAR4ROHINGYA kelolaan akhbar Sinar Harian menjelmakan syurga baharu buatnya.

Menerusi program ini, Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia, Ros Fazilah Mohd Noor, 51, atau lebih mesra disapa Umi datang bertemu Rabijah dengan membawa sumbangan pakaian,tudung selimut atas sumbangan rakyat Malaysia dan Singapura.

Umi kini sedang giat membuat program penjagaan ibu mengandung, ibu tunggal dan anak yatim di kem Balukhali ini.

“Bayi kat sini tak pakai nampkin, merek bungkus dengan kain sebab tiada baju bayi. Saya perkenalkan ulam-lam tradisional dan ubatan akar kayu yang mudah didapati di kem ini untuk rawatan lepas beranak.

“Kini kami sedang buat program menjahit pakaian dalam wanita. Bayangkan ratusan wanita dan remaja di kem ini tak pakai pakaian dalam sebab mereka tidak mampu.

“Bagi menja pendapatan, saya ajar ibu-ibu buat kuih donat, pancake, keropok dan kuih Malaysia untuk dijual. Kami keluar modal dan cari jalan untuk dipasarkan di dalam kem ini,” katanya.

Menurutnya, program SINAR4ROHINGYA ini masih memerlukan sumbangan dan sukarelawan kerana ratusan lagi wanita dan remaja memerlukan perhatian.

“Saya menyeru wanita-wanita hebat dan jutawan-jutawan kosmetik di Malaysia untuk turut berganti.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.