Berita Terkini
recent

UNIC keluar dari kepompong

TIDAK mahu terus berada di takuk lama, kumpulan nasyid popular, UNIC berusaha melakukan pelbagai pembaharuan.

Tambahan pula, UNIC yang dianggotai Bazli Hazwan, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin dan Wan Najdi Wan Mohd Noh sudah bertapak dalam industri hiburan, sejak 15 tahun lalu.

"Usia kita dah 15 tahun dalam industri. Dah tiba masa untuk kita cari tempat yang lebih segar dengan suasana dan peminat baru.

"Kita tak nak lagi bermain di sekitar masjid, surau atau madrasah saja," katanya pada Sinar Harian.

Sebagai merealisasikan, kata Mohd Fakhrul Radhi, kumpulannya itu baru sahaja melaksanakan Cabaran Samyang di Fickles Publika, baru-baru ini.

Jelasnya, Cabaran Samyang itu merupakan anjuran bersama kelab peminat UNIC iaitu Family UNIC.

"Kita dapati mereka yang datang adalah peminat baru, dan bukan semua hanya ada basic agama semata-mata, ada juga yang minat Kpop.

"Jadi, inilah pendekatan kita untuk bersahabat dengan peminat baru. Jika kita melakukan aktiviti biasa, kita tak rasa dapat tarik crowd seperti ini," katanya.

Tambahnya, pembaharuan itu sudah diimpikan namun hanya dapat dilaksanakan selepas dinobatkan sebagai juara program realiti Gema Gegar Vaganza.

"Kita memang mahu lakukannya, cuma kita tak ada turning point yang kukuh. Jadi, kita rasa inilah masa yang sesuai.

"Lagipun, selepas bergelar juara, kita juga harus pamer sesuatu yang berlainan.

"Selepas program itu, kita juga dapat kawan-kawan baru dan mereka bagi banyak nasihat daripada segi imej, pendekatan dan berkawan," katanya.

Pun begitu, katanya, UNIC tetap menyampaikan mesej yang sama buat pendengar cuma melalui pendekatan yang lebih segar.

"Bila show, kita tetap bawa content yang sama, masih menyampaikan mesej positif cuma kita selang seli dengan punchline dan lawak yang bersesuaian. Kita kaji apa kehendak peminat.

"Bahkan, kita juga pernah berpenampilan santai seperti memakai Tshirt, topi dan sneakers ketika mengadakan show, dan nampaknya cara ini dapat menarik perhatian ramai," katanya.

Terus berusaha memikat peminat baru, UNIC turut bekerjasama dengan penyanyi rap popular, Caprice menerusi single terbaru, Sedar.

Katanya, Sedar mendapat sentuhan daripada Omar K dan Ikhwan Fatana.

"Kita nak keluar daripada nasyid yang biasa dan kebetulan lirik untuk Rap, memang dibuat sendiri oleh Caprice.

"Kita harapkan pemilihan ini tepat dan diterima ramai peminat termasuk pendengar baru daripada segenap lapisan," katanya

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.