Berita Terkini
recent

Ubah persepsi poligami

Poligami bukan satu isu baru yang diperdebatkan banyak pihak, tetapi sejak akhir-akhir ini ia menjadi polemik yang semakin hangat diperkatakan apabila berlaku pertentangan pendapat mengenainya.

Sering dipandang serong masyarakat, syarikat produksi Creative Skill Solution Sdn Bhd tampil mempertaruhkan drama bersiri Kekasih Paksa Rela yang mengetengahkan kisah hidup berpoligami yang menjadi ‘mimpi ngeri’ kebanyakan wanita bergelar isteri.

Membariskan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Intan Najuwa, Datuk Jalaluddin Hassan, Ain Edruce, Fizz Fairuz dan Dayang Aredda, drama yang bakal ditayangkan di slot Akasia jam 7 malam bermula 26 Disember ini diharap dapat menterjemahkan sebaik mungkin keputusan si suami yang memilih hidup berpoligami.

Pengarahnya, Idora Abdul Rahman berkata, naskhah ini bakal menceritakan perspektif mengenai hidup berpoligami yang sering dipandang negatif masyarakat hari ini.



“Barangkali ada yang melihat isu poligami adalah perkara yang cukup sensitif. Dalam kalangan artis juga, kita sering mendengar kisah pelakon dan penyanyi yang hidup berkongsi kasih.

“Menerusi drama ini penonton akan dihidangkan mengenai hidup poligami yang mulanya berlaku atas dasar kemanusian namun bertukar menjadi cinta sejati.

“Selain itu, saya juga mahu mengubah senario hari ini yang menganggap hidup berpoligami sesuatu yang tidak baik. Saya harap penonton dapat memahami setiap mesej yang cuba disampaikan dalam drama ini,” katanya yang menjalani penggambaran di Pulau Belitung, Indonesia.

Ditanya mengenai cabaran menjalani penggambaran di sana, Idora berkata, antara cabaran yang terpaksa diharungi ketika berada di lokasi penggambaran adalah keadaan cuaca yang panas.

“Walaupun cuaca di sana panas terik, ia bukan halangan untuk kami mendapat sinematografi yang terbaik untuk drama ini.

“Kami bersyukur sepanjang berada di Pulau Belitung urusan dipermudahkan. Kami diberi kebebasan untuk meneroka kawasan pulau yang dianggap masih ‘dara’ dan belum dicemari. Kami juga beruntung kerana turut mendapat tajaan penginapan,” katanya.

Menurut Idora, dia bersyukur kerana tonggak utama drama ini, Remy memberikan sepenuh komitmen yang baik dan faham setiap jalan cerita.

“Kebanyakan pelakon dibarisi wajah baru. Saya beruntung kerana hero drama ini adalah Remy. Dia banyak membantu pelakon lain malah tiada masalah untuk menolong memberikan mood kepada pelakon baru khususnya.

“Selain itu, komitmen pelakon lain juga wajar dipuji kerana walaupun ada antara mereka masih hijau, mereka mempunyai pakej lengkap sebagai bintang dan mempelajari karakter masing-masing,” katanya.

Drama ini mengisahkan pasangan suami isteri Adham dan Rosnaida yang bernikah selepas mereka tamat belajar. Perkahwinan mereka ditentang keras oleh bapa Adham iaitu Datuk Azman.

Adham cuba memulihkan hubungan Rosnaida dengan bapanya, tapi Rosnaida ada sikap keras kepala sehinggalah dia buat keputusan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, kononnya tak tahan dengan sikap mentua.

Selepas tiga tahun Rosnaida tidak pulang ke tanah air, Adham terserempak dengan Hanan yang masih melanjutkan pelajaran, tapi terpaksa menjaga bapanya yang sakit. Disebabkan ibunya, Suraya menjalin hubungan sulit dengan Yusman, Hanan dipulau keluarga dan jiran.

Adham menawarkan sejumlah wang kepada Suraya dan Yusman kononnya mahu mengambil Hanan bekerja.

Hanan dijaga dengan baik dan meneruskan pelajarannya. Bagaimanapun, bagi mengelak fitnah, Hanan terpaksa bernikah dengan Adham. Lagipun, mereka mendapat tahu Yusman mahu menjual Hanan kepada bapa ayam.

Selepas bernikah, Adham tidak melayan Hanan sebagai seorang isteri. Dia bernikah atas dasar simpati, tetapi Hanan berusaha untuk memenangi hati Adham bagi membalas jasa baiknya.

Intan kekok dengan Remy

Bagi pendatang baru, Intan Najuwa yang berperanan sebagai Hanan mengakui kekok ketika bergandingan dengan Remy.

Menurut Intan, dia dan Remy sudah dianggap sebagai adik dan abang, namun apabila perlu bergandingan sebagai pasangan kekasih serta suami isteri dia akui janggal.

“Sebelum ini saya pernah bergandingan dengan Remy dalam sebuah drama, tapi kami berlakon sebagai adik-beradik.

“Bagaimanapun, ketika diberitahu hero adalah Remy, saya berdebar kerana mendapat tahu banyak babak yang memerlukan kami beraksi romantis.

“Namun saya bersyukur Remy seorang yang sangat penyabar dan banyak membantu untuk mencari keserasian. Dia antara orang kuat yang banyak mengajar selain pengarah dan pelakon senior lain,” katanya yang mengagumi bakat pelakon itu.

Selain sarat dengan emosi, Intan berkata, drama ini juga memerlukan dia bermain dengan air mata apabila hampir setiap episod perlu menangis.

“Saya masih baru dalam bidang ini, namun semuanya berjaya dilakukan berkat tunjuk ajar semua pihak. Saya harap penonton menyukai lakonan saya ini kerana ia ditayangkan di slot yang sering menjadi perhatian,” katanya

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.