‘Tiada niat berhijrah’ -Bront Palarae


BIARPUN kerap menerima tawaran berlakon dari negara seberang, aktor popular, Bront Palarae mengakui masih tiada keperluan untuk terus berpindah ke Indonesia.

Malah bintang filem Terbaik Dari Langit ini lebih selesa untuk terus berulang-alik.

Pelakon ini juga tidak menafikan kerjaya seninya semakin berkembang di Indonesia selepas membintangi mini siri, Halfworlds yang disiarkan di HBO Asia tahun lalu.

Katanya, ramai peminat mengharapkan dia terus menetap di sana.

“Saya rasa lebih selesa begini, berulang alik dari Kuala Lumpur ke Indonesia dan anggap ia sebagai kerja yang perlu dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada,masa sama, pelakon berusia 39 tahun ini juga mempunyai pelbagai perancangan lain terhadap kerjaya seninya di Malaysia.

Namun, bintang filem Ola Bola ini menyifatkan kolaborasinya dengan produksi Indonesia daripada sudut positif.

“Bila kita bekerjasama seperti ini, ada banyak kelebihannya. Mungkin, selepas ini, saya pun boleh ajak mereka untuk berlakon di sini pula,” katanya.

Pun begitu, dek kerap berulang-alik juga, Bront tidak mempunyai masa secukupnya untuk meluangkan masa dengan isteri dan anak perempuannya yang kini berusia 19 bulan.

“Saya perasan, kadang-kadang anak saya macam merajuk dengan saya sebab dia pun dalam proses membesar.

"Sekejap papa dia ada, sekejap papa dia tak ada. Itulah dia ‘the irony of working hard for your family, you don’t really see your family," katanya sambil tertawa.

Selepas muncul dalam mini siri Halfworlds, Bront tampil menerusi filem Headshot dan My Stupid Boss dan Pengabdi Setan.

“Memang ada beberapa tawaran berlakon lagi di sana, cuma saya masih belum membuat keputusan.

“Tapi, selepas berlakon dalam Pengabdi Setan, saya dapati kebanyakan tawaran yang datang, memaparkan watak yang lebih kurang sama,” katanya.

Terbaru, pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin ini turut membintangi filem Ayat-Ayat Cinta 2 terbitan Manoj Production dan akan ditayangkan di Indonesia bermula 21 Disember ini.

Dalam filem arahan Guntur Soeharjanto itu, Bront memainkan peranan sebagai seorang lelaki Yahudi, Baruch yang menetap di Scotland.

Katanya, walaupun membawakan watak seorang yang berfahaman Yahudi, namun ia hanya melibatkan secara luaran.

“Saya hanya mengikut tuntutan watak dan saya tak rasa watak itu akan beri kesan akidah kepada penonton, selagi tidak libatkan akidah, saya okay,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bront juga merupakan salah seorang ahli tetap dalam Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA).

Selain Bront, lapan selebriti lain turut dipilih menerajui DPA ialah Diana Danielle, Farid Kamil, Akim Ahmad, Hafiz Suip, Hazama, Stacy, Sofi Jikan dan Wan Hanafi Su.
‘Tiada niat berhijrah’ -Bront Palarae ‘Tiada niat berhijrah’ -Bront Palarae Reviewed by Kakigosip on 16:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.