The Greatest Showman tampil mempesona

LARI seketika daripada filem aksi dan komedi, peminat wayang disajikan dengan sebuah filem biografi muzikal, The Greatest Showman yang bakal ditayangkan kepada umum mulai 28 Disember ini sekali gus sebagai penutup filem untuk  2017.

Menariknya filem arahan Michael Gracey ini adalah filem inspirasi daripada kisah benar seorang tokoh perniagaan terkenal, Phineas Taylor Barnum yang berjaya membangunkan sarkas tiga gelanggang, Ringling Bros. dan Barnum & Bailey Circus sehingga dikenali di seluruh dunia.

Mengambil latar sekitar 1860-an, jalan ceritanya disusun begitu menarik menerusi babak-babak yang begitu memberikan impak kepada penonton.

Filem ini mengisahkan perjalanan hidup P.T. Barnum yang serba kekurangan sebagai anak kepada seorang tukang jahit.

Kedaifan menjadi motivasi terbesar buatnya dirinya untuk mengejar impian dan mengubah nasib agar mampu menjalani kehidupan lebih baik dan sempurna, apatah lagi selepas berjaya menikahi gadis pilihannya, Charity, anak bangsawan.

P.T. Barnum berjaya membina sebuah gelanggang sarkas di tapak muzium lama dengan mengumpulkan mereka yang mempunyai fizikal unik untuk membuat persembahan di situ sehingga mencetuskan rasa kurang senang sesetengah masyarakat terutamanya golongan kaya.

Di sinilah P.T Barnum berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga membuatkan dia hampir kehilangan keluarga dan perniagaan.

Secara keseluruhannya, The Greatest Showman  sebuah muzikal cukup mempesonakan dari segala aspek, baik jalan cerita, barisan pelakon dan juga lagu-lagu yang ditampilkan dalam filem berdurasi 1 jam 45 minit ini.


Jika sebelum ini sosok Hugh Jackman begitu sinonim dengan filem aksi, kali ini aktor kelahiran Australia ini tampil mempesona menerusi nyanyian dan tariannya yang cukup meyakinkan penonton.

Bukan hanya Jackman, tetapi menjadi kelebihan juga buat filem ini apabila hampir keseluruhan pelakon lain juga boleh menyanyi dan menari dengan begitu baik menjadikan muzikal ini tampak begitu hidup dan cantik.

Ia juga semestinya disokong dengan penghasilan lagu dan muzik terbaik dari Pasek dan Paul yang sebelum ini pernah mencipta kejayaan menerusi filem muzikal La La Land (2016).
The Greatest Showman tampil mempesona The Greatest Showman tampil mempesona Reviewed by Kakigosip on 06:25:00 Rating: 5
Powered by Blogger.