Berita Terkini
recent

Terharu suami mahu belajar agama

“YA Allah terima kasih kau bukakan hatinya dan terima doaku,” luah pelakon Lana Nodin, 37, di laman Instagramnya mengenai hasrat suami, David McKienzie mahu mendalami Islam.

Lana atau Mazlina Hasan Nodin berkata, sebelum ini suaminya tidak berpeluang mengikuti kelas agama atas komitmen latihan di luar negara.

“Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya. Selama ini saya sentiasa mendoakan Allah memberkati suami, tetapkan hati dan imannya agar terus kekal dengan Islam.

“Saya tak pernah paksa dia cuma sentiasa mengingatkan kewajiban yang perlu dilaksanakan. Kalau boleh, biar dia buat dengan rela hati,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Lana, dia terharu membaca mesej suami yang ingin belajar mengaji dan sembahyang dengan betul.

“Dia tahu semua perkara itu wajib bagi seorang Islam. Saya dan suami juga merancang menunaikan umrah tahun hadapan.

“Dulu suami pernah ke Jeddah tetapi tak boleh masuk Makkah sebab bukan Islam. Apabila kami berkahwin, dia selalu menyatakan hasrat untuk ke sana.

“Insya Allah jika segalanya dipermudahkan, kami akan menunaikan umrah tahun depan. Doakan agar impian ini terlaksana,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.