Terbawa-bawa slang Indonesia

Lebih setahun berkahwin dengan aktres seberang, pelakon Iedil Putra akui dia kini lebih banyak bertutur dalam bahasa Indonesia.

Meskipun bahasa Melaysia dan Indonesia tidak jauh beza, untuk terbabit dalam bidang seni di sana dia perlu menguasai bahasa itu sepenuhnya.

Apatah lagi pada waktu ini dia banyak menetap di Jakarta dan turut terbabit dengan pementasan teater bersama isterinya, Prisia Nasution.

Namun, jelas Iedil jika ada tawaran berlakon di tanah air dia akan kembali.

“Disebabkan sering berada di Jakarta saya sedar slang lebih kepada bahasa Indonesia. Apatah lagi di rumah kami lebih banyak berkomunikasi dalam bahasa ini.

“Mungkin disebabkan itulah apabila berlakon di sini kadang-kala terbawa-bawa. Namun, ia bukan masalah besar kerana kedua-dua negara bahasanya tidak jauh beza dan saya boleh perbetulkan semula,” katanya.

Belum bersedia meninggalkan Malaysia untuk fokus berlakon di Jakarta, Iedil berkata setakat ini tawaran di negara sendiri tidak pernah putus.

“Saya masih mengintai peluang di Jakarta. Apa saja tawaran yang diberikan saya terima begitu juga di sini. Buat sementara waktu ini saya berulang-alik.

“Ada juga tawaran berlakon sinetron panjang tetapi ia bertindih dengan jadual kerja lain.

“Insya-Allah jika ditawarkan lagi sinetron, saya teringin mencuba,” katanya.

Lakonan terbaru Iedil boleh disaksikan menerusi filem TV berjudul Mandatori yang ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif.

Mandatori yang dipecahkan kepada enam episod itu turut dibintangi Aeril Zafriel dan Siti Saleha.

Dalam perkembangan lain, Iedil bakal terbabit dengan latihan Teater Muzikal Ola Bola yang akan dipentaskan pada Februari tahun depan.

Iedil juga bakal muncul dengan beberapa filem antaranya Mak dan One Two Jaga yang akan menemui penonton tahun hadapan.
Terbawa-bawa slang Indonesia Terbawa-bawa slang Indonesia  Reviewed by Kakigosip on 12:27:00 Rating: 5
Powered by Blogger.