Berita Terkini
recent

Stacy sedia rampas mahkota

Sepanjang Ummu Syaikhah Stacy Anam berehat untuk fokus kepada keluarga selepas melahirkan Eshaal Afiq Akim, ramai penyanyi tampil mengisi ruang ditinggalkan.

Sebagai penyanyi yang tampil dengan konsep muzik rancak dan persembahan pentas energatik, sudah tentu perkara itu turut dirasai Stacy.

Menurut anak seni yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini, dia sedar ruang muzik berubah sedangkan sewaktu di awal pembabitannya, genre muzik diketengahkan belum ada.

“Sewaktu saya bermula ada juga yang cuba ikut apa yang saya lakukan. Tapi apabila saya lama senyap dan kembali, saya sedar perubahan itu. Malah bunyi muziknya pun dah lain. Saya percaya genre lagu yang saya ketengahkan ada tempatnya tersendiri.



“Apa pun, ia bergantung kepada rezeki dan sudah tentu sekarang ada orang lain juga buat macam yang saya lakukan. Sebagai penyanyi dan penghibur, saya akan terus mencuba kerana menyanyi adalah periuk nasi saya,” katanya.

Jelas Stacy lagi, dia tidak kisah apabila sepanjang ketiadaannya ada penyanyi lain ‘masuk’ dan mengambil tempatnya.

“Saya melihat perkara ini dari sudut positif. Saya dapati ada beberapa penyanyi yang mempertaruhkan muzik rancak dengan persembahan energatik di atas pentas, antaranya kumpulan Defam dan Ayda Jebat. Ia bagus untuk saya kembali bekerja keras dan bersaing secara sihat bagi menghasilkan karya yang bermutu untuk peminat,” katanya.

Sebelum ini, disebabkan menampilkan muzik seakan-akan sama dengan Stacy, Ayda Jebat dikecam peminat yang mendakwa apa yang dilakukannya tidak sebaik Stacy.

Diminta komennya mengenai situasi itu, Stacy menegaskan dia tidak berhak memberikan sebarang kenyataan kerana ia hak peminat untuk menilai.

“Ikutkan, di awal kemunculan dulu saya pernah berdepan perkara sama apabila dikatakan cuba meniru Agnes Monica. Jadi pada saya perkara sebegini adalah lumrah. Sebagai artis yang menjadi hak peminat, kadang-kadang kita kena telan perkara seperti ini.

“Cuma, apabila orang mula memberikan komen bermakna mereka sebenarnya menyedari kewujudan kita dan apa yang sedang kita lakukan. Lihat secara positif,” katanya.

Akim belikan set karaoke

Bercerita mengenai situasi yang dilalui apabila tampil dengan single terbaru Cakap Ke Tangan, Stacy mengakui berdepan masalah.

“Disebabkan berehat terlalu lama saya tak boleh nyanyi. Saya ingatkan kemampuan menyanyi akan kekal dan tidak terfikir yang saya akan kehilangan kemampuan menyanyi dengan baik seperti sebelum melahirkan anak. Saya ingatkan itu adalah kesan daripada bersalin dan semua ibu bergelar penyanyi turut melalui situasi serupa.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya pergi kelas vokal dan menari sambil menurunkan berat badan. Ketika hamil berat saya hampir 70 kilogram (kg) dan selepas bersalin 60kg. Sekarang barulah saya dapat kembali berat ideal iaitu 52kg,” katanya.

Sambung Stacy, walaupun menghadiri kelas vokal dan berlatih menari selama tujuh bulan, vokalnya belum menunjukkan peningkatan.

“Bayangkan waktu itu, Akim belikan set karaoke di rumah untuk saya berlatih bagi mendapatkan kembali mutu nyanyian yang bagus tetapi tak dapat-dapat juga. Akhirnya, saya ambil inisiatif ke gimnasium.

“Tujuan saya bukan untuk mencantikkan bentuk tubuh tetapi meningkatkan kembali stamina. Selepas dua tiga minggu, baru saya boleh menyanyi balik. Alhamdulillah, saya dapat mengatasi masalah itu. Bukan itu saja, saya juga dapat berat ideal,” katanya.

Menurut Stacy, sebelum ini dia hanya berlatih menari dan tidak pernah bersenam di gimnasium. Kini dia sedar betapa pentingnya stamina kepada penyanyi.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.