Berita Terkini
recent

Siti Elizad mahu jadi pengarah

Sejak kembali aktif dalam bidang lakonan lebih dua tahun lalu, Siti Elizad mengakui memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya yang cukup diminatinya ini.

Malah dari satu drama ke satu drama, Elizad sentiasa dilihat teruja menyempurnakan tanggungjawab meskipun berdepan dengan rutin dan jadual kerja yang begitu padat setiap hari.

“Kalau tengok jadual kerja saya, memang semua orang akan pening kerana setiap hari padat dengan aktiviti penggambaran di sana sini.

“Apa pun saya tidak pernah merungut kerana inilah dunia saya dan saya suka dengan apa yang dilakukan ini meskipun penat dan berkejaran dengan masa.

“Sementara orang bagi peluang ni, saya mahu mencuba pelbagai jenis karakter selagi boleh untuk tengok sejauh mana boleh pergi. Ada ketikanya terus masuk ke set penggambaran baru walaupun baru saja selesai dengan produksi sebelumnya,” ujarnya.

Pelakon yang sedang hangat dalam Syurga Yang Kedua ini bagaimanapun tidak pernah mengambil mudah setiap tanggungjawab yang diberikan malah mengakui sentiasa meluangkan masa untuk membuat sedikit kajian tentang watak yang bakal dijayakan setiap kali menerima naskhah baru.

“Saya tidak pernah main-main dengan kerja dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik dalam setiap tanggungjawab yang diberikan.

“Jadi sebelum masuk set, saya akan buat persediaan dan kajian saya untuk watak tersebut meskipun tidak diminta pengarah.

“Malah kalau perlu, saya juga merujuk kepada pelakon senior yang rapat dengan untuk bertanya seperti ibu Fauziah Nawi dan Ellie Suriaty bagi mendapatkan input,” akuinya.

Bukan sahaja serius dalam bidang lakonan, Elizad juga sebenarnya menyimpan impian untuk bergelar pengarah suatu hari nanti.

Dalam usaha menjadikan impiannya satu kenyataan, pelakon tinggi lampai ini sentiasa mengambil peluang untuk belajar dan melakukan pemerhatian ketika berada di set penggambaran.

“Setiap kali ada peluang, saya memang suka duduk di belakang monitor bersama pengarah untuk tengok apa yang mereka buat dan tanya macam-macam soalan untuk belajar.

“Seronok sebab kebanyakan mereka ni jenis yang suka berkongsi dan beri galakan untuk belajar ilmu belakang tabir ini. Bukan sahaja sebab saya nak jadi pengarah, tetapi untuk menjadi pelakon yang baik,” katanya.

Begitu sibuk sepanjang tahun ini apabila kerap terlibat dengan drama berepisod panjang, Elizad menyuarakan hasratnya untuk mengambil cuti seketika sebelum kembali ke set penggambaran drama baru yang akan bermula Januari ini.

“Memang sepanjang tahun ini saya begitu sibuk dengan kerja sehingga timbul cerita-cerita yang mendakwa rumah tangga saya sedang bermasalah kerana tengok saya asyik di lokasi penggambaran.

“Saya dengan suami tidak pernah ada masalah kerana dia cukup memahami kerja saya sebagai seorang pelakon membuatkan perjalanan seni saya berjalan dengan begitu lancar.

“Walaupun orang nampak saya macam sibuk sepanjang masa, tetapi saya tidak pernah mengabaikan tugas saya sebagai isteri di rumah, malah setiap kali sebelum keluar bekerja saya akan pastikan sempat memasak untuk suami dulu walaupun call time saya awal pagi,” katanya suka meluangkan masa menunggang motor berkuasa tinggi bersama suami.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.