Berita Terkini
recent

Sherry AlHadad rindu pentas teater

MUNGKIN ada yang tidak tahu Sherry AlHadad sebelum dikenali ramai sebagai pelakon komedi dan pengacara popular, terlebih dahulu aktif di pentas teater.

Bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi pekerja belakang tabir baik ketika masih belajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mahupun selepas menamatkan pengajiannya.

Sherry sebelum ini pernah muncul dalam puluhan naskhah teater bermula dengan teater Atap Genting Atap Rumbia (2004) sehingga yang terakhir Mencari Sumaiyah (2016).

Biarpun kini lebih aktif dalam bidang pengacaraan, Sherry mengakui sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan dunia teater tanah air.

Sherry juga dilihat hadir menyokong Festival Teater Kuala Lumpur Selangor 2017 yang berlangsung baru-baru ini sebagai penyampai meskipun terikat dengan tugasnya sebagai pengacara Semi Final Muzik-Muzik ketika itu.

“Saya rasa amat terharu apabila pihak penganjur terlintas untuk menjemput saya ke acara ini meskipun saya sudah lama tak buat teater.

“Saya sentiasa ingat langkah pertama saya bermula di sini, jadi saya tidak pernah lupa  untuk mengambil tahu tentang perkembangan teater tanah air dan cuba hadirkan diri dalam acara atau aktiviti kesenian jika ada kelapangan sebagai tanda sokongan,” ujar Sherry.


Bukan sekadar omong kosong, kelibat Sherry memang sering dilihat jika ada pementasan di ibu kota sama ada di ruang kecil atau berskala besar.

Dalam pada itu, Sherry mengakui rindu untuk kembali ke pentas teater setiap kali melihat rakan-rakannya beraksi.

“Setiap kali tengok orang buat persembahan kat pentas, memang rasa nak sangat aktif teater macam dulu-dulu sebab pentas teaterlah yang membentuk saya seperti hari ini.

Bagaimanapun, kata Sherry, dia perlu akur dengan kekangan masa sebagai pengacara sedangkan teater selalunya mengambil masa latihan yang panjang.

“Apa pun, saya tak penah melupakan dunia teater kerana sudah menjadi darah daging dan Insya-ALLAH jika ada rezeki, kena pula pada masanya saya akan kembali beraksi di pentas teater,” katanya yang sebelum ini kerap bekerjasama dengan pengarah Rosminah Tahir, Datin Marlia Musa dan ramai lagi.

Menurut Sherry lagi, jika untuk filem dan drama dia sering diberikan watak komedi, untuk naskhah teater pula adalah sebaliknya.

“Saya puas bila buat teater  sebab saya berpeluang cuba macam-macam watak termasuk watak yang lebih serius dan mencabar kemampuan.

“Inilah antara sebab mengapa saya sentiasa teruja dan rindu untuk berada di pentas teater bersama rakan-rakan lain yang masih aktif dengan pementasan,” kata Sherry yang bakal tampil dengan sebuah persembahan monolog tidak lama lagi.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.