Sheila tak sangka penonton suka

PENERBIT drama Dekatkan Jarak Kita, Sheila Rusly gembira apabila drama lakonan Ayda Jebat dan Syafiq Kyle itu menjadi 'trending' topik di laman Twitter dan berada di kedudukan pertama sejak ia mula bersiaran di slot Samarinda, TV3.

Shiela juga tidak menjangka drama itu mendapat maklum balas positif sekali gus menjadi pilihan penonton pada setiap Isnin sehingga Rabu, jam 10 malam.

"Alhamdulillah, dari episod satu sehingga 12, drama ini masih 'trending', orang mengikuti dan bercakap mengenainya. Malah semua pelakon berasa teruja. Ke mana saja mereka pergi, orang bercakap mengenai drama dan watak mereka.

"Sebagai penerbit, kalau boleh inginkan setiap drama mendapat rating yang bagus. Bagi saya 'trending' ini satu bonus. Tak semestinya tak 'trending' orang tak tengok.

"Alhamdulillah, walaupun drama ini ditayangkan menerusi slot Samarinda, tetapi saya gembira ia ditonton semua lapisan masyarakat. Saya berasa bangga," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sheila juga mengakui tidak mengetahui sekiranya drama arahan suaminya, Azman Yahya atau Jinggo itu perlu bersaing dengan drama Coffee Prince yang ditayangkan di saluran Astro Ria pada waktu sama.

"Ketika menjalani penggambaran, saya tak tahu pun kena bersaing dengan drama Coffee Prince. Lagi pula, setiap drama yang diterbitkan saya lebih pentingkan kualiti, pemilihan pelakon, lokasi dan muzik. Pendek kata, saya tak ambil remeh dalam setiap sudut.

"Apabila ditayangkan, saya tak pernah menjangka maklum balas sebegini hebat. Selama ini, saya tak kisah drama ditayangkan di slot apa dan waktu siaran," katanya.

Pun begitu, Sheila yakin jika drama Dekatkan Jarak Kita menjadi pilihan penonton kerana jalan cerita dipaparkan dekat dengan adat dan budaya masyarakat di Malaysia.

"Kelebihan drama ini lebih kepada adat dan budaya Malaysia. Jalan cerita mengupas beberapa isu semasa yang berlaku dalam masyarakat.

"Apa yang ditonjolkan dalam drama ini adalah perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian. Disebabkan itu ia lebih dekat dengan penonton dan mereka boleh rasa kesan daripada perbuatan dilakukan," katanya.

Drama mula bersiaran pada 21 November lalu.
Sheila tak sangka penonton suka Sheila tak sangka penonton suka Reviewed by Kakigosip on 20:07:00 Rating: 5
Powered by Blogger.