Berita Terkini
recent

'Seni itu universal'

Nama pelakon lagak ngeri dari Indonesia, Godfred Orindeod, 39, belum dikenali di negara ini namun sebagai seorang yang profesional dia tidak kisah beraksi di negara mana dan bekerja dengan siapa sekali- pun kerana baginya seni itu universal dan melangkau sempadan.

Lantaran itu peluang beraksi dalam filem KL Wangan terbitan pelakon dan model, Idris Khan dengan kerjasama Pekin Ibrahim, satu peluang besar kepada Godfred untuk mengembangkan seninya di Malaysia. Sebenarnya KL Wangan adalah filem kedua dia beraksi di sini selepas KL Vampire.

“Menerusi kedua-dua filem itu saya diberikan peranan antagonis. Bekerja di mana dan dengan siapa, sama saja. Ikut saja cara produksi bekerja. Saya sangat suka dengan KL Wangan kerana Pekin ada idea yang sangat bagus. Filem itu mengisahkan perlumbaan kereta.

“Belum fasih berdialog dalam bahasa Melayu yang betul, karakter saya lebih banyak bermain dengan emosi. Saya tidak keseorangan dalam filem ini kerana pengarah lagak ngeri dan pelakon dari Indonesia, Donny Alamsyah turut menjadi pengarah koreografer lagak ngeri dalam KL Wangan dan dia juga berlakon.



“Seluruh pasukan produksi memberikan komitmen yang sangat tinggi dan kami sering berbincang bagi mempersembahkan yang terbaik untuk filem ini,” katanya. Di negaranya, Godfred mula mencipta nama dalam industri perfileman di sana selepas dia membintangi filem The Raid Redemption pada 2012 bersama barisan artis terkemuka di sana, Iko Uwais, Yayan Ruhian, Joe Haslim, Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman.

Dalam filem itu, Godfred mendukung watak hitam yang sangat bengis dan tidak kenal belas kasihan.

“Beri peranan apa saja, kita mesti bersiap sedia tetapi jika diberi pilihan, saya lebih suka melakonkan watak antagonis kerana bagi saya membawa watak itu tidak begitu sukar. Apatah lagi, wajah saya sudah sedia kelihatan serius dan bengis,” katanya.

Lelaki yang dilahirkan di Maumere, Flores itu juga pernah bergelar atlet kebangsaan Indonesia untuk seni bela diri Tarung Derajat.

“Lalu raut wajah dan jiwa saya sudah terbentuk secara semula jadi orang yang ‘keras’. Lagi pula, melakonkan watak antagonis membuatkan penampilannya dalam filem mudah diingati penonton.

“Ketika berada di Medan (Sumatera Utara) saya pernah dimarahi orang tua-tua yang tidak suka dengan peranan yang saya mainkan dalam filem dan itu tandanya, lakonan saya berhasil,” katanya.

Filem lain lakonan Godfred, Message Man, Bulan di Atas Kuburan, Skak Mat, Cukup Gue dan filem Hollywood, Foxtrot Six yang dalam pembikinan.

KL Wangan menjengah pawagam pada 21 Disember ini.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.