Seminggu tak balik rumah

Sejak kerjaya seninya diuruskan syarikat pengurusan, Siti Sarah Raisuddin mengakui jadualnya tersusun dan padat sehingga dia pernah tidak balik ke rumah seminggu kerana memenuhi undangan persembahan di beberapa lokasi.

Akuinya sangat penat tetapi demi tugas dan tanggungjawab, digagahinya juga. Selepas mengalami komplikasi kesihatan beberapa minggu lalu, Sarah kini lebih berhati-hati menjaga kesihatannya.

“Sebelum ini, saya ada masa untuk memasak dan bawa bekal, jadi tiada masalah apabila tiba waktu makan tetapi sejak kembali sibuk, saya tak sempat menyediakan bekal menyebabkan jadual makan sedikit terabai,” katanya.

Menurut Sarah, walaupun menjaga pemakanan, ada kalanya dia sendiri melanggar disiplin itu.

“Kadang-kadang kurang minum air dan tidak mengambil makanan tambahan seperti vitamin,” katanya.

Mengenai diet pula, Sarah mempunyai pendapatnya sendiri dan menolak sekiranya ada individu yang tidak mahu makan langsung semata-mata untuk kurus serta langsing.

“Banyak orang tak faham apa itu diet seimbang. Ia adalah mengamalkan pemakanan yang betul dan tak boleh tidak makan langsung. Untuk saya, saya cuba menggunakan bahan masakan yang sihat. Secara tak langsung, kita mengurangkan bahan yang kurang memberi manfaat kepada kesihatan tubuh,” katanya.

Sarah yang dikenali sebagai penyanyi bertubuh genit beritahu, dia sendiri pernah gemuk dan ada beberapa perkara membuatkannya ingin menurunkan semula berat badan.

“Berat saya pernah mencecah sehingga 70 kilogram dan saya sendiri pun tak perasan. Apabila badan makin berat saya jadi malas untuk bergerak dan cepat penat. Jadi, perlahan-lahan saya turunkan semula berat badan,” katanya.

Terbaru, Sarah bakal muncul dengan single terbarunya menjelang Januari.

“Lagu dan komposernya masih dirahsiakan. Ia akan jadi buah tangan terbaru daripada saya kepada peminat dan insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, ia akan dilancarkan Januari depan,” katanya.
Seminggu tak balik rumah Seminggu tak balik rumah  Reviewed by Kakigosip on 07:41:00 Rating: 5
Powered by Blogger.