Selesai misi bahaya

Selepas 22 tahun, sekuel Jumanji: Welcome to the Jungle dibawa ke layar perak dan mengetengahkan suasana dunia berbeza daripada filem asal yang dibintangi Robin Williams.

Filem arahan Jake Kasdan ini mengisahkan empat pelajar sekolah menemui permainan video lama bernama Jumanji.

Mereka diserap ke dalam permainan itu dan penampilan masing-masing berubah mengikut watak pilihan sendiri.

Bagi menamatkan permainan itu dan kembali ke dunia asal, remaja berkenaan perlu menyelesaikan misi bahaya selain mencari sesuatu yang ditinggalkan Alan Parrish 20 tahun lalu.

Menampilkan pelbagai babak mencemaskan serta lucu, filem ini dibintangi Dwayne Johnson, Jack Black, Kevin Hart, Karen Gillan, Nick Jonas dan Bobby Cannavale.

Jonas yang melakonkan watak misteri Alex mengakui dia peminat setia Robin Williams dan filem Jumanji.

“Saya menyewa Jumanji dari kedai Blockbuster di Wyckoff, New Jersey dan menyaksikan filem itu sebanyak empat kali,” katanya.

Menurut penyanyi itu, dia menerima lamaran membintangi sekuel itu ketika dalam perjalanan ke konsert jelajahnya.

“Ketika itu saya dalam bas. Kebetulan, rakan yang ada bersama saya main permainan Jumanji,” katanya.


PERMAINAN Jumanji.
Terkejut dengan diet Dwayne Johnson

Dalam temu bual berasingan, Black mendedahkan Johnson minta nasi dan daging kerbau disediakan untuknya sepanjang penggambaran Jumanji: Welcome To The Jungle.

Menurut Black, 48, dia ingin tahu diet Johnson, 45, yang membolehkan ahli gusti itu memiliki bentuk badan gagah dan mantap.

Pelakon filem School of Rock itu mengakui agak terkejut apabila diberitahu Johnson mengamalkan diet khas di set penggambaran.

“Ketika bertemu Johnson saya beritahu mahu jadi seperti dia. Saya tanya apa dia makan.

“Dia jawab makan protein. Saya cakap daging stik yang dimakannya nampak sedap.

“Dia beritahu itu daging kerbau yang tidak mengandungi lemak dan nasi putih,” katanya.

Bercakap mengenai filem terbaru lakonannya itu, Black berkata, ia kesinambungan kisah dunia Jumanji.


ANTARA adegan cemas yang dapat disaksikan.
“Filem ini bukan diolah-olah semua dan walaupun jalan cerita berbeza, ia seolah sambungan kepada kisah dulu.

“Permainan Jumanji ada evolusi, seperti organisme hidup dan mampu berubah mengikut dunia masa kini yang generasi muda sudah tidak main permainan papan.

“Budak sekarang bermain iPad dan permainan video,” katanya.

Pakaian dikritik netizen

Sementara itu, Karen yang melakonkan watak Ruby Roundhouse berkata, kostum dipakainya dalam permainan Jumanji dikritik netizen kerana terlampau singkat.

Bagi watak itu, Karen memaki baju singkat dan seluar pendek manakala pelakon lelaki lain dalam pakaian Safari bersesuaian.

Bagaimanapun, pelakon itu memberitahu kritikan terbabit mencetuskan perdebatan mengenai diskriminasi dan kebencian terhadap wanita.

“Ini mungkin kedengaran aneh, tetapi saya melihat isu ini dari sudut positif. Apa orang ramai kata adalah betul.

“Jika dilihat dari sudut berbeza, memang agak memalukan untuk seorang wanita berpakaian sedemikian sedangkan lelaki berpakaian tutup,” katanya.


ANTARA adegan cemas yang dapat disaksikan.
Jelas Gillian, 30, wataknya sepatutnya menyerupai Lara Croft yang menjadi wanita fantasi lelaki.

“Bagi saya, ia sesuatu yang positif untuk orang ramai bincangkan,” katanya.

Dalam filem itu, Gillian turut melakonkan watak Martha, remaja ‘geek’ berusia 17 tahun.

“Saya seronok melakonkan dua watak ini Saya fikir bila akan berubah menjadi Ruby dan Martha.

“Sewaktu remaja, saya bersikap seperti Martha yang kekok dan sukar bergaul dengan orang sekeliling.

“Paling penting menerusi karakter ini Martha menemui kekuatannya,” katanya.

Filem Jumanji: Welcome to the Jungle bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 21 Disember ini.
Selesai misi bahaya Selesai misi bahaya  Reviewed by Kakigosip on 12:26:00 Rating: 5
Powered by Blogger.