Berita Terkini
recent

Selebriti perah keringat demi Rohingya

BARISAN pemain bola sepak selebriti dari pasukan Super Lawak FC bakal memerah keringat mereka demi membantu masyarakat Islam Rohingya melalui satu perlawanan amal #SINAR4ROHINGYA esok.

Kehebatan permainan Super Lawak FC akan teruji apabila mereka berdepan dengan pasukan Pilihan Sinar Harian/Smart Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) jam 8.30 malam esok.

Menurut Penyelaras Sekteriat #SINAR4ROHINGYA, Lailatun Halilah Nasir, perlawanan amal anjuran Kelab Generasi Sahabat Dinamik Malaysia (Genesis) dan Sinar Harian Edisi Selangor/KL itu bertujuan mengumpul dana bagi tabung #SINAR4ROHINGYA yang diselaraskan oleh Sinar Harian.

Menurut beliau, Sekteriat #SINAR4ROHINGYA juga berterima kasih kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor yang sudi bekerjasama menjayakan program amal ini dan juga MBPJ yang menjadi penaja venue perlawanan.

"Kami sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai program amal bagi mengisi tabung Sinar4Rohingya yang digerakkan sejak lima bulan lalu oleh Sinar Harian dengan sokongan pelbagai NGO lain.

"Perlawanan amal ini juga sebagai salah satu platform kita untuk mengajak masyarakat menghulurkan sumbangan sambil menonton perlawanan bolasepak antara Super Lawak FC dan Pilihan Sinar Harian/Smart Selangor," katanya.


Jelas Lailatun lagi, pas masuk berharga RM5 sudah mula diedarkan kepada orang ramai dan bagi mereka yang ingin menonton perlawanan sambil beramal boleh mendapatkan pas masuk itu di kaunter tiket Stadium MBPJ bermula jam 3 petang esok.

"Kesemua hasil kutipan pas masuk itu akan disalurkan terus kepada tabung #SINAR4ROHINGYA," jelasnya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada badan-badan korporat dan NGO yang sudi menaja pas masuk kepada orang ramai seperti Kumpulan Perangsang Selangor, Majlis Belia Malaysia, Restoran Kedai Bonda,  Litrak dan juga Persatuan Alumni Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah.

"Datanglah beramai-ramai ke Stadium MBPJ malam ini untuk menyaksikan perlawanan amal ini.

"Penonton juga bakal dihiburkan dengan persembahan daripada artis popular tanahair seperti Ronnie Husin, Nabila Razali dan juga seorang pendatang baharu, Aiman Akasyah," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.