Berita Terkini
recent

Sambutan hebat

Selepas empat tahun tidak mengadakan sambutan ulang tahun secara besar-besaran, penghibur kelahiran Singapura, Roslan Shah kembali mengadakan acara itu atas permintaan peminat di sana.

Menariknya, sambutan bersempena hari jadi yang ke-47, baru-baru ini adalah yang pertama diadakan Roslan bersama peminat di Singapura kerana sebelum itu hanya meraikannya di Malaysia.

“Saya memang tidak merancang mengadakan sebarang acara, tetapi ini atas permintaan peminat. Setiap kali saya bersiaran langsung di Facebook, peminat pasti bertanyakan perkara ini.

“Saya sangat berbesar hati dengan usaha dan inisiatif mereka. Apabila ia berjaya diadakan, saya tidak menjangka acara ini mendapat sambutan hebat daripada peminat.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak yang sudi menaja majlis ini. Bagi saya, tanpa mereka acara ini juga tak dapat direalisasikan. Tidak ada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaan saya.

Saya menyifatkan mereka sangat luar biasa,” katanya.

Namun, Roslan turut meluahkan rasa kecewa apabila tidak dapat menjemput lebih ramai peminat disebabkan kapasiti dewan yang terhad.

“Pada awalnya jumlah tetamu membabitkan 250 orang, tetapi berlaku pertambahan pada saat akhir kerana ada peminat yang datang walaupun nama mereka tidak ada dalam senarai.

“Diakui berlaku sedikit kekecohan di meja pendaftaran. Namun, saya dapat meredakan keadaan dan tetap membenarkan mereka masuk. Saya meminta pihak dewan dan katering menyediakan makanan tambahan.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua. Pada masa sama, saya tidak mahu mereka pulang dalam keadaan hampa dan kecewa. Disebabkan itu, saya cuba sehabis baik agar mereka dapat meraikannya bersama,” katanya.

Menurut Roslan, majlis hari jadi yang diadakan itu selepas empat tahun tidak membuat sebarang sambutan ekoran kekangan waktu dan keadaan membabitkan kesihatan ibunya.

“Sebelum ini, selama lapan tahun berturut-turut saya mengadakan sambutan hari jadi di Kuala Lumpur bersama peminat. Selepas ibu jatuh sakit, saya tidak lagi berbuat sedemikian.

“Tidak ada istilah merajuk atau sebagainya, sebaliknya lebih kepada menghormati keadaan ibu. Malah, sepanjang tempoh berkenaan saya juga tidak ada ‘mood’. Takkan saya nak bergembira dalam keadaan ibu yang sedang sakit.

“Alhamdulillah, pada acara kali ini ibu dapat turut serta. Ia juga atas permintaan peminat yang ingin berjumpa ibu saya. Selama ini mereka hanya melihatnya di Instagram dan Facebook saja,” katanya.

Roslan berkata, dia terharu melihat keadaan ibunya kelihatan gembira sepanjang majlis berlangsung.

Turut hadir pada acara itu, penyanyi dan pelakon Azza Elite yang juga selaku pengacara majlis, Erry Putra dan banyak lagi.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.