Berita Terkini
recent

Ruhainies bakal tampil dengan filem pertama

Setelah beberapa kali terlepas peluang untuk berlakon filem, heroin drama Hello Mr Perfect, Ruhainies teruja kerana bakal tampil dalam filem pertamanya tidak lama lagi.

Kongsi Ruhainies, hasrat berlakon di layar lebar sudah lama diidamkan bagi mencari kelainan dan pengalaman baru.

Sepanjang dua tahun bergelar pelakon, Ruhainies membintangi banyak drama dan telefilem menjadikannya bersemangat untuk melangkah setapak lagi dalam lakonan filem pula.

“Semestinya saya nak cuba sesuatu yang baru dan cara kerja berbeza dengan apa yang saya lalui  sebelum ini.

“Kalau ikutkan, saya sebenarnya sudah beberapa kali ditawarkan berlakon filem, tapi ketika itu sering bercanggah dengan jadual kerja sedia ada menyebabkan saya terpaksa melepaskan peluang tersebut,” akuinya.

Filem pertama itu bakal memulakan penggambaran pertengahan Disember depan yang turut melibatkan beberapa aktor popular tanah air.

“Alhamdulillah, akhirnya sampai juga rezeki saya dan saya harap semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Memang saya sangat teruja dengan peluang ini sebab saya tahu bukan semua pelakon berpeluang buat filem.

“Insya-ALLAH ia akan menjadi langkah awal saya untuk aktif di layar lebar selepas ini jika filem pertama ini mendapat sambutan daripada peminat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ruhainies mengakui perlu bekerja lebih keras untuk bersaing dengan ramai pelakon baru yang muncul bagai cendawan  tumbuh selepas hujan.

Katanya, dia tiada masalah dengan pelakon malah menganggapnya sebagai galakan untuk bekerja lebih keras.

“Jujurnya saya memang teringin nak bekerjasama dengan pelakon baru ini untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kerana setiap daripada kita ada kelebihan berbeza.

“Sebenarnya saya juga masih hijau dalam industri. Banyak benda lagi yang perlu saya belajar dan perbaiki, jadi tidak salah untuk kita bekerjasama dan tidak terlalu fikirkan persaingan,” ujarnya yang juga adik kepada pelakon Risteena Munim.

Hargai peminat dengan cara sendiri

Selain filem, Ruhainies yang lebih selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri juga bakal muncul dengan drama Chor & Chah musim kedua.

“Chor & Chah sangat berbeza dengan drama lakonan saya yang lain kerana ia tampil dengan jalan cerita berkaitan dunia keusahawanan, musim pertamanya mendapat sambutan yang sangat bagus dengan 1 juta tontonan.

“Drama ini banyak memberi inspirasi kepada orang di luar sana termasuk diri saya yang minat berniaga," katanya yang sedang merancang menceburi bidang perniagaan.

Pelakon yang ditemui pada majlis pelancaran drama terbitan Suhan Movies itu Rabu lalu tidak menolak pada awal kemunculannya, namanya sering terpalit dengan kontroversi namun kini  ternyata dia lebih matang mendepani onak liku. 

"Memang situasi itu sedikit sebanyak turut menaikkan nama saya tapi bukan itu yang saya cari kerana pada akhirnya hasil kerja kita yang akan dinilai.

“Jadi saya banyak belajar melalui pengalaman lalu untuk menjadi lebih baik dan memberi tumpuan kepada kerjaya seni,” katanya yang pernah digosip bercinta dengan pelakon Azrel Ismail.

Dikenali sebagai pelakon yang mudah didekati, Ruhainies juga dilihat mempunyai hubungan rapat dengan peminatnya.






Ada di antara mereka yang mendapat layanan istimewa dan sering mengadakan aktiviti.

“Saya faham sebagai artis, saya perlu meletakkan sedikit sempadan ketika bersama dengan peminat atas faktor keselamatan dan sebagainya.

“Namun ada yang sangat rapat dan banyak berkorban untuk saya  dari dulu hinggalah sekarang.

“Saya percayakan mereka dan sebagai tanda penghargaan saya tidak kisah meluangkan masa bersama mereka, sama ada membawa mereka keluar makan bersama ataupun sesekali bercuti,” jelas Ruhainies tanpa berselindung.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.