Rancak beraksi di luar negara

Mereka masih kekal bertahan menjual album tertinggi dengan rekod jualan album Puji-Pujian melebihi 700,000 unit pada 1996 yang tiada saingan sehingga kini.

Oleh itu, agak menghairankan apabila kumpulan Raihan jarang diundang menjayakan persembahan di mana-mana lokasi dalam negara atau di kaca televisyen tempatan.

Sebaliknya, kumpulan yang sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa ini lebih dihargai masyarakat luar yang tidak putus-putus menawarkan undangan membuat persembahan.

Raihan yang dianggotai Che Amran Idris, 48, Abu Bakar Mohd Yatim, 47, dan Amran Ibrahim, 46, terus menjadi sebutan peminat luar apabila baru-baru ini diundang menjayakan program pertandingan nasyid di Sharjah TV, Dubai pada 14 Disember lalu.

Turut terbabit dalam rombongan ini ialah Duan Saufee sebagai kordinator dan Rahmat (jurutera bunyi) serta pemuzik pengiring iaitu Lone (gitar bass), Idham (keyboard), Pa’ang Zaman (perkusi) dan Aie Spider (dram).

Dua videografer iaitu Rifaiee dan Rizal dari Rio Production, Aminur (videografer media sosial) dan wartawan RAP turut diundang untuk merakam dan mencatat detik kemeriahan program ini.

Menyampaikan enam lagu iaitu Thank You Allah, Rakan Selawat, Puji-Pujian, Syukur, Bit Taqwa dan Your Face Is Bright, persembahan ini dilihat amat mantap dan profesional serta mendapat tepukan gemuruh daripada peminat.

Tempoh selama lima hari berada di Dubai juga dimanfaatkan Raihan dengan melakukan penggambaran di beberapa lokasi menarik antaranya Burj Khalifa, Burj Al Arab, Marina Dubai dan Atlantis untuk video muzik serta program terbitan mereka.

Menariknya, kemana-mana saja pergi, ada peminat menegur anggota Raihan sebagai tanda mengenali kumpulan yang sudah berkelana sehingga ke Eropah dan Afrika ini.

“Program ini kali kedua dianjurkan Sharjah TV, manakala, Raihan sendiri sudah empat kali buat persembahan di Dubai bermula pada 2006.

“Ia ibarat program nasyid fantasia untuk negara Timur Tengah yang diwakili peserta dari Iran, Iraq sehinggalah ke Maghribi,” kata Che Amran mewakili rakan.

Che Am berkata, rentetan daripada persembahan yang pernah dijayakan di Abu Dhabi, Kuwait, Damsyik, Algeria, Syiria dan negara Teluk lain, membuka peluang buat Raihan untuk diundang ke Sharjah TV.

“Raihan masih berada dalam senarai pilihan untuk buat persembahan. Alhamdulillah, ini rezeki kami. Dari segi hubungan kami di peringkat antarabangsa, Raihan ternyata kuat.

“Begitu juga dari segi ‘branding’ kerana Raihan masih popular. Syukur sepanjang 2017, kami berjaya buat persembahan di Bangkok, menganjurkan Pelayaran Islamik ke Aceh dan Phuket serta terbaru persembahan di Sharjah TV,” katanya.

Raihan kini sudah berusia 21 tahun, namun, Che Amran dan rakan masih belum jemu mahu meneroka seluruh pelosok dunia untuk menyebarkan mesej dakwah.

“Kami masih ghairah untuk beraksi di luar kerana rasanya masih banyak lokasi boleh dikunjungi. Ia berkaitan dengan dakwah kerana Raihan membawa mesej dunia Islam ke negara luar.

“Kami ibarat duta untuk menunjukkan imej positif Islam yang ada hiburan terkini dengan situasi sekarang. Insya-Allah, tahun depan banyak program yang sudah dirancangkan buat peminat,” katanya.

Menurutnya, Raihan sudah mewujudkan #RaihanWorldTour dan beberapa negara sudah dikenal pasti untuk dikunjungi mereka.

“Kami akan ke Singapura pada awal 2018, Kashmir dan insya-Allah Gold Coast pada pertengahan 2018. Indonesia juga menunjukkan minat untuk mengundang kami.

“Jika tiada aral, kami juga ada undangan ke Kanada dan negara Eropah lain. Kami akan kembali rancak beraksi di pentas antarabangsa,” katanya.

Abu Bakar pula berkata, Raihan sentiasa ada perancangan untuk memajukan kumpulan mereka dalam industri seni.

“Pada kami, kejayaan dulu biarkan berlalu dan menjadi sejarah. Tak guna untuk kami berbangga dengan kejayaan lama. Tapi, kami bersyukur dengan kejayaan ini.

“Sekarang kami mahu fokus ke depan. Peminat Raihan tetap ada, tapi kami kena cari generasi baru dengan tampilkan sentuhan muzik yang sesuai,” katanya.

Ditanya mengenai nasib Raihan di negara sendiri, Abu Bakar berkata, sebagai anak Melayu perasaan kecewa tetap ada.

“Jangan nanti apabila sudah tiada, baru nak kenang kami. Pencapaian yang kami buat ini jarang berlaku.

“Ramai yang anggap kami buat persembahan di luar negara atas undangan pelajar kita atau Kedutaan Malaysia sedangkan kami diundang wakil dari kerajaan asing,” katanya.

Menurutnya, ramai pihak seakan sukar menerima hakikat Raihan satu nama yang kuat dan mempunyai pengaruh sendiri di luar negara.

“Kami pernah ke Rusia, buat persembahan di 10 bandar di United Kingdom, di tujuh bandar di Perancis, semuanya atas undangan pihak sana,” katanya.

Perkembangan terbaru Raihan boleh diikuti menerusi Instagram @raihaninternational dan Facebook Raihan Official.
Rancak beraksi di luar negara Rancak beraksi di luar negara  Reviewed by Kakigosip on 09:09:00 Rating: 5
Powered by Blogger.