Berita Terkini
recent

Prinsip Zizan Razak

KELIBAT selebriti serba boleh ini di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan, nama Zizan Razak dikenali semua golongan.

Di sebalik sikap ramah dan gila-gilanya di depan kamera mahupun peminat, siapa sangka, pelakon, pelawak, penyanyi dan pengacara ini begitu serius dalam bekerja.

Menurut Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, biarpun terlibat dengan penggambaran naskhah komedi yang ringan, namun dia tidak mengambil mudah dengan kerja yang dilakukan.

“Apa jua kerja yang saya lakukan, saya tak akan ambil mudah. Bagi saya kalau kita main-main atau ikut mood apa jua kerja yang kita lakukan, penonton boleh nampak.

“Saya tak suka kalau berlakon komedi, cerita pula ikut mood kita. Bukan kita ikut mood cerita itu. Jadi nanti secara tidak langsung cerita yang dijayakan akan jadi carca marba,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem televisyen (FTV) lakonannya, Baby Bro, baru-baru ini.

Turut sama terlibat dalam FTV arahan sutradara Ghaz Abu Bakar adalah Shaheizy Sam, Izara Aishah dan ramai lagi.

             
Dalam pada itu, anak kelahiran Dungun, Terengganu ini mendedahkan, dia tidak meletakkan had dalam bekerja dan cuba tampil dengan sesuatu yang berbeza dalam lakonan.

“Saya suka buat benda atau naskhah yang saya tak buat lagi. Saya tak nak tersekat pada satu genre sahaja, contohnya komedi. Saya suka cabar diri untuk buat benda yang lain atau berbeza.

“Selepas ini saya mahu terlibat dengan naskhah permotoran seperti kereta atau tarian. Saya juga sedia untuk ke peringkat antarabangsa, cuma tak tahu bagaimana caranya lagi.

“Doa-doakanlah ada rezeki untuk saya ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti,” katanya.

Balas jasa peminat

Bercerita penglibatannya dalam Baby Bro, lelaki berusia 33 tahun ini berkata, antara faktor utama dia menerima naskhah berkenaan kerana mahu menghargai peminat cilik yang menyukainya.

“Ketika Ghaz hubungi saya dan bertanya sama ada saya mahu turut serta dengan projek Baby Bro, saya tak berbuat apa-apa kerana sedang menanti tarikh penggambaran Polis Evo 2.

“Tapi itu faktor kedua, faktor utamanya saya terlibat dengan Baby Bro ini kerana ini salah satu cara saya menghargai peminat cilik.

“Selalu kalau saya jumpa peminat, mereka akan panggil saya uncle Cicakman, uncle Polis Evo. Mereka akan datang dan peluk saya. Bagi saya perbuatan mereka itu ikhlas. Jadi ini cara saya balas kasih sayang mereka dengan menghiburkan mereka menerusi naskhah Baby Bro yang santai untuk tontonan seisi keluarga,” ujarnya.

               
Baby Bro boleh ditonton menerusi platform Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 30 November lalu.

Dalam pada itu, Zizan berkata dia kini masih sibuk di lokasi penggambaran Polis Evo 2. Katanya, penggambaran filem itu berlangsung di Kuantan, Pahang dan juga sedikit lokasi di Kuala Lumpur.

“Jalan cerita sekuel saya rasa lebih mencabar. Saya mahu beri yang terbaik untuk filem ini kerana bila kita buat sekuel, expectation peminat lebih tinggi.

“Saya harap bila siap nanti,  penonton akan berpuas hati dengan Polis Evo 2,” akhirinya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.