Berita Terkini
recent

Perluas rendang tok

Berikutan sambutan baik penonton terhadap Chor & Chah, drama itu kembali dengan musim kedua bermula 5 Disember lalu.

Drama itu dibintangi Saharul Ridzwan sebagai Chor, Ummi Nazeera (Chah), Ruhainies (Siti), Afifah Nasir, Shafiq Nazri, Kazar Saisi, Haleeda Mazlin dan Luqman Hafidz.

Musim ini me­nyaksikan perniagaan Chor semakin ber­kembang dan bersedia menembusi pasaran luar. Oleh itu, Chor mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada organisasi seperti Telekom Malaysia serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk meningkatkan produktiviti perniagaan rendang tok yang diusahakannya melalui Internet dan maklumat lanjut berkenaan lesen yang perlu dipohon.

Chor turut memohon menyertai program anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan bakal mendapat lebih banyak peluang untuk melebarkan sayapnya. Akhirnya, kilang ‘Air Tangan Bonda’ dibuka.

Rendang tok dan serunding dibungkus dengan menarik untuk pasaran luar negara. Chor menerima pengiktirafan terbesar apabila Perdana Menteri kagum dengan kejayaannya dan memberikan semangat kepadanya untuk terus mengangkat jenama Air Tangan Bonda.

Selain itu, agensi seperti SME Bank, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Platcom Ventures pula membantu Chor dari segi kewangan dan jaminan kredit di samping pinjaman untuk pelbagai kegunaan yang akan memberikan nilai tambah kepada perniagaan itu.

Menurut pengarah drama itu, Kasz Roshan, projek ini selaras usaha kerajaan untuk pembangunan belia. Golongan ini digalakkan menceburi bidang perniagaan, memberikan panduan menjalankan perniagaan secara komprehensif dan efektif kepada bakal usahawan serta usahawan sedia ada.

“Selain memberi pendedahan berkenaan bantuan pengembangan perniagaan dan eksport yang disediakan kerajaan serta pelbagai agensi yang ada dalam negara, ia meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai program Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) yang ditawarkan kerajaan serta pihak swasta.

“Ia juga sebagai inisiatif ‘outreach’ bagi menyebarkan maklumat terkini berkaitan PKS,” katanya.

Penerbitan drama mini itu dimuat naik di platform media sosial serta digital untuk ditayangkan ketika program outreach membabitkan SME Corp. Malaysia di seluruh negara.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.