Pekin turun padang promosi KL Wangan

SEMENJAK hari pertama tayangannya, 21 Disember lalu, filem KL Wangan, arahan Pekin Ibrahim mendapat respons yang cukup positif daripada penonton tanah air, terutamanya bagi peminat filem aksi permotoran.

Malah selepas dua hari tayangan, filem yang mengambil masa selama hampir tiga tahun proses pembikinannya ini berjaya melepasi kutipan RM1 juta ringgit dan terus menunjukkan peningkatan di 110 buah pawagam yang menayangkan filem ini.

Ternyata percaturan Pekin membuahkan hasil apabila elemen-elemen yang dipersembahkan menerusi filem ini berjaya menambat hati penonton.

“Saya dan team produksi sudah buat yang terbaik dan sekarang terpulang kepada penonton untuk menilainya bagaimana.

“Sebagai pembikin filem, apa yang saya harapkan agar penonton terhibur dengan filem ini kerana saya memberikan apa yang mereka mahukan dalam sebuah filem aksi kereta.

“Alhamdulillah setelah hampir seminggu tayangannya kepada umum, ramai penonton yang berpuas hati dan terhibur dengan apa yang kami paparkan dalam KL Wangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Dalam pada itu, Pekin yang juga salah seorang pelakon filem ini kini sedang ligat mengetuai sesi jelajah untuk mempromosikan filem bersama barisan pelakon lain di 20 lokasi terpilih seluruh tanah air.

“Sejak hari pertama tayangan lagi kami sudah bergerak untuk menjayakan sesi jelajah bagi mempromosikan filem ini di beberapa lokasi terpilih seperti Pulau Pinang, Terengganu, Johor Bahru, Melaka dan beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

“Insya-ALLAH jelajah terakhir kami di Kedah pada 5 Januari depan, di mana kami barisan pelakon akan turun padang untuk mempromosikan filem ini dengan menyertai sesi tayangan bersama-sama penonton di lokasi terbabit.


“Lebih menarik, kami juga mengadakan pelbagai aktiviti sampingan lain berkaitan kereta di setiap lokasi jelajah kami dan setakat ini mendapat sambutan yang cukup hebat daripada penonton dan peminat dunia permotoran,” katanya.

Bagaimanapun di sebalik pujian dan respons positif yang diterima, Pekin turut berdepan dengan kritikan negatif untuk filem kedua arahannya ini.

“Saya bukan orang baru dalam industri dan sentiasa bersikap terbuka dengan apa pun teguran atau kritikan yang diberikan kepada saya asalkan ia bersifat membina untuk kebaikan bersama.

“Namun jika ia bersifat sebaliknya, semestinya saya tidak bersetuju dan menganggap ia sebagai sesuatu yang cuba menjatuhkan industri kita sendiri di saat kutipan filem Melayu berada dalam keadaan yang menakutkan.

“Saya bukan hanya bercakap bagi pihak filem saya sahaja, tetapi untuk filem tempatan secara keseluruhannya di mana kita masih kekurangan sokongan daripada semua pihak.

“Ada di kalangan kita yang lebih cenderung untuk mencari keburukan berbanding kebaikan sedangkan banyak perkara-perkara positif dalam sesebuah karya dan industri secara amnya boleh diketengahkan,” luahnya kecewa.
Pekin turun padang promosi KL Wangan Pekin turun padang promosi KL Wangan Reviewed by Kakigosip on 05:34:00 Rating: 5
Powered by Blogger.