OST KL Wangan

NAMA Altimet tentunya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena muzik hip-hop dan rap.

Malah, penyanyi ini telah mencipta kejayaan menerusi tiga albumnya iaitu Among Equals (2007), Kotarayaku (2014) dan Amboi (2016) sejak aktif hampir 18 tahun lalu.

Tidak ketinggalan, kolaborasinya bersama beberapa penyanyi popular tanah air sekali gus memberi impak dalam kerjaya seninya melalui lagu Kalau Aku Kaya (Awi Rafael), Not for Sale (Stacy), Negaraku (Faizal Tahir, Joe Flizzow dan SonaOne) serta Hazama (Aku Buka Dewa).

Ternyata percaturan n Altimet tidak pernah mengecewakan kerana dia cukup dikenali sebagai penyanyi profesional dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap hasil kerjanya.

Kini, penyanyi dan juga komposer ini tampil dengan buah tangan terbaru yang juga lagu runut bunyi (OST) filem KL Wangan, arahan Pekin Ibrahim bersama tenaga produksi Centro Pictures ini.

Filem ini berkisarkan cerita aksi lumba kereta yang dibintangi barisan pelakon popular tanah air seperti Faizal Hussein, Kazuto Soon, Jasmine Suraya serta Donny Alamsyah dan bakal menggegarkan pawagam bermula hai ini.

Bagi mengekalkan mood lagu ini sebagai sebuah lagu OST, judulnya juga  diambil bersempena nama filemnya sendiri, KL Wangan yang disifatkan sebagai cukup unik.

Lagu ini menceritakan budaya perlumbaan kereta secara terbuka antara persetujuan dua pihak dan sesiapa sahaja boleh berlumba jika ada kemahuan.

KL Wangan merupakan lagu ciptaan komposer Emir Hermono dan Irfan i-Sky, manakala liriknya pula ditulis oleh Altimet sendiri.

Proses penciptaan lagu ini mengambil masa selama sebulan, sementara pembikinannya pula berlangsung dalam tempoh tujuh bulan demi memastikan kualiti terbaik selain mampu memberi impak kepada pendengar.

Menurut Altimet, idea untuk menulis lirik bermula apabila dia datang melawat set penggambaran filem KL Wangan dan juga membuat kaji selidik mengenai industri permotoran yang akhirnya mencetuskan idea pembikinan lagu ini.

Ia menjadi lebih istimewa dengan penampilan pelakon otai, Faizal dan Pekin yang turut berkolaborasi demi menjayakan lagu ini.

"Peluang bekerjasama dengan Faizal adalah satu pengalaman yang cukup bermakna bagi saya. 

“Saya berharap agar lagu ini dapat berjalan seiring dengan filemnya kerana setiap lagu yang berjaya itu datangnya dari sebuah filem yang baik dan unggul,” ujarnya.

KL Wangan edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd ini kini boleh dimuat turun di semua digital platform seperti Apple Music, iTunes, Spotify, JOOX, Yonder Music dan KKBox mulai 29 Disember depan.

Selain itu, muzik video KL Wangan hasil arahan Khairul Hazwan dan Centro Pictures Sdn. Bhd ini juga sudah boleh ditonton di platform Youtube menerusi pautan klwanganost.shorturl.com.
OST KL Wangan OST KL Wangan Reviewed by Kakigosip on 11:49:00 Rating: 5
Powered by Blogger.