Berita Terkini
recent

Orang Singapura suka Baki

PENGACARA Baki Zainal, 34, terharu dengan pujian dan sokongan penonton selepas mengacara malam kemuncak Asian Television Awards 2017 (ATA 2017) di Singapura, Jumaat lalu.

Rasa terharu Baki dikongsi di akaun Facebook (FB) miliknya.

Baki atau Zahamin Baki Zainal berkata, paling membuat dia gembira apabila melihat penonton sanggup menunggunya di lobi hotel selepas acara selesai untuk bertemu dan mengucapkan tahniah.

"Di Malaysia saya bukanlah pengacara popular tetapi apabila melihat ramai orang sanggup menunggu saya untuk berjumpa, memang terharu dibuatnya.

"Saya gembira apabila tanggungjawab besar yang digalas sebagai pengacara diterima baik penonton luar," katanya kepada Harian Metro.

Baki yang menguasai kemahiran bertutur bahasa Mandarin dan Inggeris berkata, dia sebaik mungkin mengawal perasaan gementar sepanjang mengacara ATA 2017 kerana turut mewakili nama Malaysia.

Dikenali melalui program Step Forward di 8TV, Baki berkata, tawaran mengacara malam kemuncak ATA 2017 itu diterimanya Ogos lalu tetapi lebih selesa tidak mencanang cerita.

"Ini kali kedua saya dipilih mengacara majlis anugerah yang mengiktiraf drama terbaik di Asia.

“Bimbang juga menanti persepsi penonton apatah lagi ATA 2017 disiarkan di 38 negara Asia.

"Ia tugas berat buat saya kerana bukan mudah membuat penonton terhibur dan dapat menerima persembahan dilakukan," katanya.

Baki mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan termasuk menerima baik persembahannya pada malam itu.

"Segala sokongan diberikan itu saya doakan semoga anda dirahmati Tuhan. Apa yang boleh dikata, saya sangat terharu," katanya.

Pada malam itu, Baki berganding dengan dua pengacara wanita, Stephanie Carrin dari Singapura dan Wang Li Huan (China).

Pelakon Malaysia, Puteri Balqis Azizi, 10, turut dicalonkan di ATA 2017 untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik melalui drama Ana Anak Ibu.

Balqis dicalonkan bersama pelakon hebat dari Asia, Chen Shu Fang (Taiwan), Aleeyah Nabilah (Singapura), Zhu Zhi-Ying (Taiwan), Yang Kuei-Mei (Taiwan), Zi-yu Yu (Taiwan) dan Krissy Jesudason.

Bagaimanapun, Balqis yang pernah menang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di anugerah sama pada 2014, kali ini tewas kepada Yang Kuei-Mei.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.