Orang kuat kementerian

Wajahnya pernah terpampang di iklan TV, majalah dan surat khabar. Malah, pernah bergelar pengacara TV dan penyampai radio di stesen penyiaran popular tempatan tidak lama dulu.

Tetapi sejak hampir dua tahun ini, pemilik nama Luqman Hakim Malik, 35, bagai hilang daripada dunia penyiaran tanah air.

Hang Pi Mana? minggu ini berkesempatan bertemu dengan pengacara dan model kelahiran Kuala Lumpur lantas bertanya khabar dan perkembangan terbarunya.

“Saya tidak menghilang cuma beralih arah ke dunia komunikasi korporat di Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak awal tahun ini.

“Saya menerima tawaran menerajui bahagian komunikasi korporat itu kerana berasakan sudah tiba masa untuk menggunakan pe­ngalaman dan ilmu sedia ada sebelum ini untuk membantu menaikkan imej kementerian,” katanya.

Berada di bawah kementerian itu, Luqman bertanggungjawab mengendali lebih 20 kakitangan dari pelbagai latar belakang dalam memastikan objektif kementerian sampai ke pengetahuan pengguna.

Namun begitu, cabaran sebagai orang baru dalam bidang itu, Luqman akui bukan mudah dan me­ngambil masa beberapa bulan untuk menyesuaikan diri.

Pada mulanya, dia terkejut kerana perlu menghadiri banyak mesyuarat bersama bahagian penting dalam kementerian terbabit.

“Saya juga ambil masa dua tiga bulan untuk me­nyesuaikan diri. Pada masa sama, saya pula kena jadi bos dan perlu menghadiri banyak mesyuarat.

“Tapi kebanyakannya mengurus kakitangan untuk mencapai sasaran yang sudah ditetapkan kementerian. Cabaran lain apabila kena jadi bos kepada mereka yang lebih berusia daripada saya,” katanya.

Disebabkan perbezaan usia antara kakitangan, Luqman akui perlu bijak mengendali dan memberi arahan kepada mereka.

Katanya, dia perlu tahu siapa dirinya pada waktu dan masa sepatutnya. Apabila berada di luar waktu pejabat, mereka dihormati kerana usia dan pengalaman.

Luqman akui bidang komunikasi adalah minatnya sejak dulu. Apatah lagi dapat menghibur dan menyampaikan maklumat kepada orang sekelilingnya.

Pernah bergelar pengacara program bual bicara pagi, Nasi Lemak Kopi O di TV9, penyampai radio slot pagi di Ikim FM dan penyampai berita di Bernama TV, Luqman akui rindu saat berada di set.

Menurutnya, dia rindu berceloteh, bergurau senda, mendengar dan berkongsi pengalaman dengan tetamu yang hadir dalam setiap program.

Malah isteri, Zarina Ghazali dan anak, Cahaya Raisya, 10, Dahlia Raisya, 7, dan Mutiara Elraisya, 3, pernah bersuara tatkala melihat bapa mereka lebih sibuk berbanding dulu sehingga pulang malam.

Selepas dijelaskan situasi kerja yang berbeza berbanding dulu, mereka akhirnya faham.

Berbeza saat bergelar pengacara, waktunya perlu dibahagikan sebaik mungkin agar kerja di pejabat dan dunia pengacaraan berjalan lancar.

“Tapi apabila sudah berada dalam dunia baru, saya perlu fokus kepada kerja. Cuma sesekali andai ada tawaran, saya akan cuba jika mendapat pelepasan daripada pihak atasan.

“Selepas sekian lama, saya bersyukur kerana berpeluang mengendali program bual bicara baru yang dibawakan KPDNKK,” katanya.

Berkongsi mengenai program bual bicara berjudul 1 Pengguna 1 Suara yang bersiaran setiap Sabtu jam 9 malam di TV1, Luqman berpasangan dengan Heliza Helmi dan mengupas isu berkaitan kepenggunaan.

Katanya, program itu adalah insiatif Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Datuk Seri Jamil Salleh untuk menyampaikan maklumat lebih luas berkaitan KPDNKK kepada pengguna.

Program bersiaran 20 episod itu mengupas pelbagai isu menarik secara santai dengan tetamu undangan dari pelbagai latar belakang.
Orang kuat kementerian Orang kuat kementerian  Reviewed by Kakigosip on 09:19:00 Rating: 5
Powered by Blogger.