Berita Terkini
recent

Murder On The Orient Express: Gandingan bintang gred A

Murder On The Orient Express merupakan sebuah pembikinan semula filem klasik yang pernah diterbitkan pada 1974 hasil adaptasi novel thriller tulisan Agatha Christie yang cukup popular sekitar era 1930-an.

Melihat kepada tajuknya, penonton mendapat gambaran awal tentang kisah yang bakal ditampilkan menerusi filem arahan Kenneth Branagh ini.


Filem ini mengisahkan satu tragedi yang berlaku di dalam kereta api mewah Orient Express yang dalam perjalanan ke London.

Detektif ternama, Hercule Poirot (Kenneth Branagh) bertemu dengan seorang lelaki, Samuel Ratchett (Johnny Depp) yang ingin mengupah dan meminta bantuan kerana merasakan hidupnya kini dalam keadaan bahaya dan terancam.

Bagaimanapun, Detektif Poirot tidak berminat dan menolak permintaan itu kerana tidak mahu terjebak dengan lelaki yang diketahui mempunyai latar belakang kurang baik itu.

Apa yang mengejutkan, ketakutan Ratchett menjadi kenyataan apabila dia  ditemui terbunuh dalam kereta api itu keesokan harinya tanpa sebarang bukti.

Mahu tidak mahu Poirot terpaksa menyiasat kejadian itu dan mengenal pasti pembunuh terbabit dengan menjadikan kesemua 13 penumpang di gerabak yang sama sebagai suspek utama.

Kepakaran Poirot benar-benar teruji kerana kesemua suspek mempunyai isu dengan si mati, tetapi tidak meninggalkan sebarang petanda ketika pembunuhan.

Sebuah filem thriller yang digarap dengan cukup menarik oleh Kenneth Branagh selaku pengarah dengan mewujudkan pelbagai adegan suspens.

Antaranya ketika babak Ratchett dibunuh, keadaan si mati tidak ditunjukkan secara jelas sebaliknya hanya menerusi dialog Poirot dan suspek yang terlibat.

Situasi ini secara tidak langsung menarik penonton untuk memberi lebih tumpuan, malah turut meneka perkara yang berlaku selain mencari suspek terbabit.

Biarpun menggunakan latar belakang sebuah kereta api pada sebahagian besar ceritanya, filem ini tampil dengan shot yang cukup cantik.

Paling menarik perhatian, tentunya kemunculan pelakon gred A yang berjaya dikumpulkan dalam filem ini seperti Judi Dench, Johnny Depp, Penélope Cruz, Michelle Pfeiffer, Tom Bateman dan lain-lain.


Bagaimanapun apabila nama-nama besar ini digandingkan dalam satu frame, semestinya pengarah akan berdepan dengan kesukaran untuk menyeimbangkan karakter dalam menjayakan watak mereka.

Masalah ini turut berlaku apabila ada antara karakter yang dilihat lebih menonjol berbanding karakter lain yang dilihat sepatutnya lebih diberi ruang.

Apa pun untuk peminat filem penyiasatan dan suspens, filem ni menepati pilihan. Tidak terlalu kompleks, dan tidak juga terlalu ringan untuk dirungkai.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.