Berita Terkini
recent

Mudah dibentuk, tak banyak kerenah

Penggambaran drama 20 episod, Jangan Padam Rindu yang berlangsung hampir dua bulan seakan-akan tidak terasa kerana pengarahnya, Raja Ahmad Alauddin Raja Mohamed Redzuan (Raja) mendapat kru yang dedikasi dengan tugas mereka dan pelakon yang tidak banyak kerenah.

Lebih menyemarakkan semangat Raja apabila gandingan sulung Keith Foo dan Emma Maembong menjadi apabila mereka serasi bersama.

“Selepas dua tahun tidak berlakon, kematangan Keith lebih terserlah berbanding ketika bekerja dengannya dalam drama Ariana Rose empat tahun lalu. Peminat Keith masih ada dan jika penggambaran dilakukan di luar, ramai menyerbunya.

“Ini termasuk ketika penggambaran di Perth, Australia selama 10 hari pada November lalu. Di sana ramai orang Melayu dan Keith turut menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia,” katanya di lokasi penggambaran drama itu di Serendah, Rawang.


Emma pula, Raja memahami rentaknya kerana sudah beberapa kali mereka bekerjasama termasuk dalam drama Awak Suka Saya Tak.

“Kali pertama Emma bergandingan dengan Keith ia menerbitkan satu situasi yang baru dan segar serta mudah dibentuk mengikut acuan saya.

“Saya yakin peminat Keith tidak sabar melihatnya beraksi semula,” katanya.

Dalam pada itu, Raja juga terkejut lakonan Emma dan Ariana AF yang bersahabat baik dalam drama itu sangat menjadi.

“Apabila drama ini disiarkan di RTM (Radio Televisyen Malaysia) tahun depan, saya percaya mereka berdua menjadi ‘senjata’ untuk penonton terus mengikuti drama ini sehingga penamatnya.

“Lakonan mereka sangat bersahaja dan selamba seperti sudah bertahun-tahun berkawan,” kata Raja.

Emma sering jadi pilihan

Menyentuh pemilihan pelakon, Penerbit Penyelaras Suhan Movies Muhamad Faes Zakaria berkata, ada juga yang bertanya kenapa Emma sering menjadi pilihan untuk membintangi drama terbitan syarikat produksi itu.

“Jawapannya mudah, dia bagus, tidak banyak hal dan dengar cakap. Sikapnya itu menyenangkan kerja produksi,” katanya.

Selain itu, penggambaran di Perth turut menjadi daya tarikan kepada drama Jangan Padam Rindu berikutan pemandangannya yang cantik.

Sambil mengikuti konflik yang berlaku antara watak lakonan Keith dan Emma, penonton boleh ‘menjamu mata’ dengan setiap sudut rakaman yang dibuat di sana.

Jelas Faes, dia dengan Pengurus Produksi drama itu, Jamal Mohamad pergi ke sana dua hari awal untuk meninjau lokasi yang diperlukan bagi penggambaran.

“Orang di sana memberikan kerjasama yang sangat baik dan tiada masalah langsung untuk menggunakan premis mereka sebagai lokasi.

“Tidak perlu berurusan secara rasmi, hanya pergi berjumpa minta kebenaran dan mereka terus bersetuju tanpa meletakkan bayaran,” kata Faes.

Sinopsis

Jangan Padam Rindu mengisahkan Ellina lakonan Emma menyangka Tuan Haji Mizan (Arash Mohd) melamarnya untuk dijadikan isteri. Sudah semestinya dia tidak mahu bersuamikan lelaki tua.

Ellina tidak mementingkan kebendaan meskipun dia sangat berkenan dengan telefon pintar yang Tuan Haji Mizan hadiahkan kepadanya. Tidak semudah itu Ellina akan jatuh hati dengan orang tua itu.

Mujur Ellina dan Tuan Haji Mizan tidak pernah bertemu, hanya berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp. Ellina lebih rela Tuan Haji Mizan yang bertongkat itu menjadi bapa tirinya.

Bagaimanapun, Ellina tiada pilihan dan terpaksa akur dengan takdir itu. Tiba hari pertunangan, dia terkejut melihat bakat suaminya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.