Malam bertuah Aishah!

PERSEMBAHAN meyakinkan menjadi momen bermakna buat Aishah apabila diumumkan pemenang Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang dipancarkan secara langsung di Astro Ria dan Ria HD dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor Bharu, Ahad lalu.

Kemenangan penyanyi berasal dari Jempol, Negeri Sembilan itu nyata menepati ramalan ramai.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin menerima hadiah wang tunai RM100,000, sebidang lot tanah banglo, pakej bercutian ke Eropah, barangan kemas, vaucher membeli-belah Go Shop bernilai RM6,000 dan trofi.

Terdahulu, penyanyi tersebut turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Gelora Vida Vaganza.

Dalam pusingan pertama, Aishah menyanyikan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion manakala pusingan battle pula menerusi lagu Supergirls dari DeFam.

     
Mengulas mengenai kemenangannya itu, Aishah bersyukur dan terima kasih atas sokongan yang diberikan produksi dan peminat.

“Alhamdulillah, kemenangan ini begitu besar dalam kerjaya seni saya. Siapa sangka setelah sekian lama tidak muncul dengn sebarang produk baru, kini saya kembali ke industri bersama semangat baru. Semoga kemenangan ini menjadi signal terbaik buat permulaan kerjaya seni saya untuk tahun hadapan, Insya-ALLAH.

“Apabila berpeluang menyertai GV, saya hanya fikir satu iaitu mahu beri yang terbaik. Dah lama tidak buat persembahan secara langsung di kaca TV di hadapan peminat. Jadi inilah peluang terbaik yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Bahkan, Aishah turut menyambut baik setiap tawaran selepas ini demi memastikan kerjaya seninya terus berkembang pada masa depan.

“Saya terbuka untuk menerima apa-apa tawaran khasnya daripada pihak Astro. Apapun setiap perancangan perlulah datang dengan perbincangan kerana masing-masing pastinya mahukan impak terbaik," katanya.

         
Sudah beri yang terbaik:  Liza Hanim
Penyanyi yang popular menerusi lagu Gelisah Mimpi, Liza Hanim pula dinobatkan pemenang kedua turut berpuas hati dengan senarai keputusan.

Pernah diramal sebagai bakal juara, penyanyi ini bagaimanapun percaya pada rezeki dan mengakui, GV musim ini berpihak pada Aishah.

“Peluang bersaing dengan penyanyi senior lain tentunya menjadi sesuatu yang paling bermakna dalam kerjaya saya. Lebih-lebih lagi apabila dapat berada satu pentas dengannya. Siapa yang tak boleh menidakkan kebolehan, skill nyanyian dan pengalaman penyanyi berkenaan.

               
“Berada di posisi mana sekali pun, saya percaya finalis lain yang bertanding percaya pada rezeki dan kami sejujurnya di belakang pentas saling berkongsi ilmu dan membantu antara satu sama lain,” kongsi Liza yang tidak menafikan penglibatannya di sepanjang GV juga adalah antara proses pembelajaran terbaik buatnya dalam kerjaya.

Liza membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM50,000, sebidang lot tanah banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas, vaucher membeli-belah Go Shop bernilai RM5,000 beserta trofi.

Lan Solo pula diumumkan sebagai pemenang ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 beserta hadiah sampingan lain termasuk pakej percutian ke Boracay, Filipina dan Hazami di kedudukan keempat.  Firman dan Tia Jinbara masing-masing terpaksa berpuas hati di tempat kelima dan keenam.

Juri beri penekanan vokal, dinamik
Dalam pada itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad tidak menafikan persaingan sengit dalam kalangan finalis menjadikan markah masing-masing tidak terlalu jauh di antara satu sama lain.

“Kami sebulat suara bersetuju dengan pemilihan pemenang. Juri sudah memilih juara yang dirasakan terbaik berdasarkan persembahan pada malam tersebut. Mengenai single baru untuk pemenang memang kami akan lakukan perbincangan sama ada mahu menjadikan lagu tersebut sebagai runut bunyi drama dan sebagainya. Apapun, kena bincang terlebih dulu,” terangnya.

Mewakili barisan juri, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang berpendapat, finalis sudah cuba memberikan persembahan terbaik.

               
“Markah pun sangatlah tipis. Tidak menang tidak bererti tidak bagus. Cuma pada malam final, kami cukup beri penekanan terhadap vokal dan dinamik. Hafalan terhadap lirik juga penting.

“Sebab itulah saya cakap bila menyanyi, keselesaan itu sangat penting khasnya bila duduk atau berdiri sebab kawalan vokal akan jadi berbeza,” jelas Hetty.
Malam bertuah Aishah! Malam bertuah Aishah! Reviewed by Kakigosip on 19:57:00 Rating: 5
Powered by Blogger.