'Macam tak percaya'

Walaupun baru berusia 16 tahun, pendatang baru Chaleeda berjaya menarik perhatian peminat di Malaysia dalam sekelip mata menerusi lagunya Mind Over Matter.

Pasti ramai tertanya-tanya siapakah penyanyi lagu yang seakan-akan lagu antarabangsa itu? Tidak dinafikan, lagu ciptaan SonaOne itu meninggalkan impak tersendiri dengan melodinya cukup unik.

Turut terkesan dengan impak berkenaan, penyanyi kelahiran Thailand ini mengakui masih tidak percaya dengan sambutan luar biasa diterimanya.

“Pertama kali saya mendengarnya di radio memang tidak tergambar perasaan teruja itu. Saya masih tidak percaya lagu itu adalah nyanyian saya kerana lagu itu sendiri sangat bagus.

“Apabila mendapat tahu sambutannya begitu luar biasa di sini, saya seperti di awang-awangan. Saya sangat bersyukur kerana sudah ramai peminat di Malaysia kenal hanya disebabkan lagu itu,” katanya.

Bagaimanapun, Chaleda tidak mahu cepat bangga diri memandangkan dia sendiri masih muda. Walaupun memulakan karier seninya seawal usia 11 tahun, dia mengakui masih banyak perlu diperbaiki.

Apatah lagi, dia sendiri baru mendapat hala tuju yang sangat tepat buat muziknya, penyanyi naungan label Rocket Fuel itu mahu terus maju.

“Saya mula mendapat rentak selepas beberapa tahun dalam industri muzik dan lagu berunsur hip hop sangat dekat dengan saya. Bagaimanapun, pada masa sama saya mendengar semua jenis muzik terutama yang relevan sekarang.

“Saya rasa masih banyak perlu perbaiki terutama aspek persembahan terutamanya. Mana tidak, sehingga sekarang saya masih ada perasaan gemuruh apabila membuat persembahan di pentas,” katanya.

Dalam pada itu, Chaleeda tidak pernah membataskan untuk melebarkan sayapnya dan berazam mahu menembusi pasaran Barat.

“Inilah masanya saya mahu memberikan sepenuh hati kepada bidang muzik yang memang saya cintai ini. Saya memang tidak menolak jika suatu hari nanti berpeluang bekerjasama dengan pemuzik di Barat.

“Lagipun, saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama ibu. Walaupun masih belajar, ia tidak menghalang saya mahu terus mengejar impian kerana bersekolah di rumah,” katanya.

Chaleeda berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mempromosikan singlenya itu yang makin kerap dimainkan di stesen radio.

Dia juga membuat persembahan di The Bee, Publika dan berjaya mengagumkan lebih 300 penonton yang hadir. Ternyata pesonanya di pentas cukup terserlah seperti bintang pop sejati.

Menyanyikan Mind Over Matter, dia turut mempersembahkan beberapa lagu nyanyian semulanya yang mendapat tontonan tertinggi di YouTube.
'Macam tak percaya' 'Macam tak percaya'  Reviewed by Kakigosip on 12:37:00 Rating: 5
Powered by Blogger.