Berita Terkini
recent

Lapor polis filem kena kebas



PENERBIT Eksekutif filem Pinjamkan Hatiku, Datuk Saiful Safwan Mohamed Ghazi membuat laporan polis di Balai Polis Puchong Jaya, hari ini selepas rakaman penuh filem berkenaan dimuat naik individu tidak bertanggungjawab di Facebook (FB), Jumaat lalu.

Safwan yang juga pengasas Aurawhite Global Sdn Bhd berkata, laporan itu dibuat supaya pihak bertanggungjawab mengambil tindakan tegas bagi melindungi hak cipta filem arahan Osman Ali.

"Saya membuat laporan itu selepas pihak kami mendapati ada individu membuat lintas langsung melalui FB.

"Sebelum laporan polis dibuat, pihak kami sudah memohon individu terbabit memadam video itu, namun tiada jawapan sehinggalah kami melaporkan kepada pihak Facebook dan kemudian video itu dipadam.

"Bagaimanapun, laporan polis perlu dibuat memandangkan tindakan sebegitu tetap satu kesalahan jenayah. Ia sangat tidak adil buat penerbit mahupun pengamal filem jika jenayah sebegitu berterusan. Kami berharap individu terbabit diambil tindakan segera.

"Filem ini baru saja ditayangkan sejak 30 November lalu. Malangnya sudah bocor selepas sehari ditayangkan di seluruh pawagam. Kejadian ini nyata tidak bertanggungjawab," katanya kesal video terbabit sudah ditonton lebih 600 penonton dalm tempoh kurang 24 jam.

Dalam pada itu, Safwan turut berharap dengan laporan itu akan membuka mata ramai pihak demi menangani jenayah sedemikian.

"Isu rakaman penuh sesebuah filem sering kita dengar sejak akhir-akhir ini. Segala wang ringgit dan tenaga yang dikeluarkan musnah tanpa rasa simpati.

“Namun harus diakui memang sukar untuk mencari jalan penyelesaian membendung kes sebegini lebih lagi dengan kuasa sosial media sekarang.

"Bagaimanapun, kami berharap ia dipandang serius semua pihak dan bekerjasama untuk membanteras jenayah itu. Bukan saja badan berwajib bahkan pihak panggung wayang juga harus memperketatkan lagi kawalan dalam kalangan penonton," katanya.

Pada masa sama, Osman mengakui buntu apabila filem arahannya sekali lagi bocor di Internet

"Ini filem kedua arahan saya bocor di Internet selepas filem Kau Yang Satu.

"Jujur saya buntu dan tidak tahu apa lagi jalan penyelesaian harus dibuat. Saya mengharapkan sokongan padu semua pihak agar isu ini segera dihentikan.

"Terus terang, saya amat kecewa dan hilang semangat apabila keadaan sebegini terjadi.

"Bayangkan segala usaha dan penat lelah dirompak sekelip mata tanpa rasa bersalah. Saya harap perkara ini tidak berlaku di masa depan dan pihak berwajib dapat ambil tindakan tegas kepada individu yang tidak bertanggungjawab,"katanya.

Selain Safwan dan Osman, laporan polis turut dibuat oleh Penerbit Nuansa Sdn Bhd, Yus Yusop.

Pinjamkan Hatiku adalah sebuah filem cinta romantis dibintangi Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.