Komitmen 100 peratus pada kerja, DJ Lin masuk hospital

BIARPUN sudah lebih 10 tahun bersama stesen radio Suria FM, penyampai popular yang mengendalikan segmen Suria Cinta, DJ Lin sentiasa merasakan dirinya masih baru di stesen tersebut.

Justeru komitmen kerja yang ditunjukkan sentiasa berganda sebagaimana ketika awal dia menjadi keluarga Suria demi memastikan segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya dapat dilunaskan dengan sebaik mungkin.

Apatah lagi setelah dilantik sebagai Pengurus Program Suria semenjak sebulan lalu, DJ Lin atau nama penuhnya Roslinda Majid semakin ligat mencari formula terbaik untuk meletakkan Suria di tempat terbaik.

“Komitmen saya pada kerja memang mengatasi segala-galanya. Seawal bersama dengan Suria lagi, saya memang sentiasa mencari pembaharuan dalam usaha untuk menjadi lebih baik, sama ada untuk diri sendiri mahu pun untuk stesen.

“Alhamdulillah dengan kepercayaan baru yang diberikan oleh pihak pengurusan kepada saya sebagai pengurus program, terlalu banyak benda yang sedang dirancang untuk Suria FM sepanjang 2018 nanti.

“Ia bukan perkara yang mudah, namun saya percaya kerjasama dalam pasukan yang punya misi yang sama untuk menaikkan stesen akan beroleh hasil yang positi nanti,” katanya.

Meskipun kini mempunyai tanggungjawab baru, DJ Lin masih lagi mengendalikan segmen Suria Cinta yang begitu sinonim dengan dirinya.

“Kalau ikutkan skop tugas, memang tanggungjawab saya kini semakin besar dan berat, namun saya masih mahu berada di konti dan mengendalikan segmen Suria Cinta yang telah diterajui lebih 10 tahun yang lalu.

“Apa yang membanggakan, Suria Cinta menjadi antara program radio yang paling lama bertahan dan tentunya ia tidak dicapai dengan mudah.

“Jadi walaupun sibuk dengan tugas sebagai pengurus program, saya masih tetap selesa berada di konti mengendalikan segmen Suria Cinta pada sebelah malam kerana jatuh bangun saya selama ini dengan program ini,” ujarnya  yang sering menghabiskan masa lebih 16 jam sehari di pejabat.

Disebabkan sibuk bekerja dan kurang rehat, DJ Lin baru-baru ini telah ditahan di hospital selama lima hari iaitu beberapa hari selepas konsert 10 Tahun Suria FM berlangsung.

“Sebenarnya sebelum konsert berlangsung lagi saya susah mula sakit kepala dan merasa kurang sihat, namun  disebabkan komitmen kepada kerja  untuk memastikan konsert ulang tahun ke-10 kami berlangsung dengan jayanya, saya cuba bertahan.

“Tiga hari selepas konsert, sakit masih juga tidak kurang membuatkan saya terpaksa ke hospital dan akhirnya ditahan selama lima hari bermula Selasa hingga Sabtu lalu.


“Alhamdulillah saya sekarang sudah beransur sihat, namun masih lagi berehat kerana mendapat cuti sakit sehingga Jumaat ini,” katanya yang kini sedang berehat bersama keluarganya di Johor Bahru.

Dalam pada itu, DJ Lin menafikan keadaan yang dilaluinya itu berlaku kerana bebanan dan tekanan kerja baru yang disandangnya kini.

“Apa yang boleh saya katakan ia lebih kepada keadaan diri saya sendiri yang sedikit terganggu dengan beberapa kejadian yang yang menimpa keluarga baru-baru ini.

“November lalu saya baru sahaja kehilangan abang kandung, dan selepas itu ibu pula dimasukkan ke hospital kerana komplikasi beberapa penyakit menyebabkan saya perlu berulang-alik ke Johor Bahru setiap minggu untuk menjaganya di hospital.

“Disebabkan situasi itulah keadaan saya agak tidak menentu, malah kehilangan semangat setelah berdepan dengan beberapa kejadian yang menyedihkan dalam masa masa sebulan dua ini,” luahnya jujur.
Komitmen 100 peratus pada kerja, DJ Lin masuk hospital Komitmen 100 peratus pada kerja, DJ Lin masuk hospital Reviewed by Kakigosip on 05:31:00 Rating: 5
Powered by Blogger.