Berita Terkini
recent

Komedi aksi bayi comel

Bukan saja gandingan mantap Zizan Razak dan Shaheizy Sam, filem televisyen (FTV) Baby Bro juga menjanjikan kelainan dan sajian hiburan ringan sesuai untuk seisi keluarga.

Selain Zizan dan Sam, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Izara Aisyah dan pelakon cilik, Qistina Raisah.

Ghaz berkata, dia menerima tawaran mengarahkan naskhah ringan Baby Bro kerana jalan ceritanya yang menarik.

“Walaupun dikenali dengan filem genre aksi dan bajet mahal, saya juga ingin mencari kelainan dalam karya dihasilkan.

“Selepas kejayaan Polis Evo, saya memilih gandingan serasi Zizan dan Sam untuk beraksi dalam genre komedi aksi pula.

“Kebetulan kami berehat seketika daripada penggambaran filem Polis Evo 2 ketika itu,” katanya.

Mengenai cabaran pula, Ghaz mengakui bukan mudah bekerjasama dengan pelakon kanak-kanak dan bayi dalam filem itu.

“Mujur bayi yang comel itu beri kerjasama yang baik dan penggambaran berjalan lancar dengan kehadiran ibu bapa menemani mereka di lokasi.

“Penggambaran berlangsung dua minggu membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Ghaz ditemui pada majlis tayangan filem televisyen Baby Bro yang berlangsung di The Garden Mid Valley di sini, baru-baru ini.

Ditanya tarikan cerita itu, kata Ghaz, ia sesuai untuk hiburan seisi keluarga pada musim cuti persekolahan ini.

“Baby Bro memaparkan kanak-kanak pada zaman sekarang yang sudah pandai berniaga dalam talian.

“Mungkin cerita ini ringan, tetapi ia ada mesej positif untuk disampaikan kepada penonton.

“Apa yang penting, penonton terhibur dengan naskhah ringan ini,” katanya.

Sementara itu, Zizan berkata, dia menimba pengalaman baru bekerja dengan pelakon kanak-kanak dan bayi dalam Baby Bro.

“Saya berasa seronok kerana dapat berlakon dalam naskhah ringan seperti ini. Filem ini juga khusus buat peminat cilik saya,” katanya.

Filem TV Baby Bro ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif bermula 30 November lalu.

Sinopsis

Baby Bro menceritakan kehidupan seharian dua pemuda, Joe lakonan Sam dan Sham (Zizan) yang mencari rezeki dengan cara tersendiri di Kuala Lumpur.

Kehidupan mereka berubah serta-merta dengan kehadiran seorang bayi yang tidak diketahui dari mana asalnya.

Usaha untuk memulangkan semula bayi terbabit menemui jalan buntu sehingga mereka akhirnya terpaksa memutuskan menjaganya buat sementara waktu.

Tanpa mereka sedari, bayi yang digelar ‘Baby D’ mula disayangi seperti anak sendiri.

Kehadiran bayi itu dalam dunia Joe dan Sham juga dilihat menyumbang ke arah positif apabila pintu rezeki kedua-duanya semakin luas terbuka, malah mereka menjadi lebih bertanggungjawab.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.