Berita Terkini
recent

Kes bunuh empat sekeluarga selesai, lelaki OKU ditahan

Polis percaya kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Rabu lepas, berjaya diselesaikan dengan penahanan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata suspek berusia 38 tahun, yang merupakan OKU pekak dan bisu, ditahan di sebuah rumah kedai pada 1 pagi tadi.

Suspek direman selama seminggu bermula hari ini.

"Sepasukan  polis dari Bahagian Jenayah Berat, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menyerbu rumah kedai itu berdasarkan maklumat risikan bahawa suspek menetap di situ dan telah menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

"Soal siasat awal dijalankan dan mendapati suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah, mengaku terlibat dalam kes ini. Lelaki itu yang bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong merupakan teman lelaki kepada anak perempuan bongsu mangsa berumur 30 tahun yang juga OKU pekak dan bisu," katanya kepada pemberita.

Mazlan berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Mohd Asri Abd Wahab dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah itu menggantikan Supt Ruslan Abdullah yang bersara wajib.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa Chia Tee Nang, 73; isterinya  Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9, serta Chia Yuan Bin, 3, dipercayai dibunuh sebelum dibakar di kediaman mereka.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurut Mazlan, berdasarkan siasatan awal, motif kejadian disebabkan masalah kewangan seperti hutang dan berlaku pertelingkahan di rumah mangsa sebelum kejadian.

"Kami percaya suspek bertindak bersendirian dalam kes ini, jadi kami percaya kes ini telah berjaya diselesaikan.

"Mengenai punca sebenar kematian keempat-empat mangsa, kami masih menunggu laporan rasmi bedah siasat daripada pihak hospital, tidak boleh putuskan lagi sama ada mangsa dibunuh sebelum dibakar," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.