Kembali pada sifu

Kali terakhir juara program Gegar Vaganza 3 (GV3), Azharina Azhar muncul dengan album studio pada 2008 menerusi album Rawan. Terbaru, selepas sembilan tahun, Azharina bakal kembali dengan album baru yang memuatkan lima lagu.

Menariknya, album memulakan proses rakaman awal tahun ini adalah kolaborasi Azharina dengan komposer Julfekar yang pernah membawa namanya di puncak.

Kerjasama itu juga sekali gus memadam segala sengketa yang pernah wujud antara mereka suatu ketika dulu sehingga membuatkan kedua-duanya tidak bertegur sapa selama tujuh tahun.

“Kali terakhir, kami bekerjasama pada 2005 iaitu selepas saya keluar dari syarikat Julfekar. Kalau nak diceritakan semula masalah yang berlaku memang panjang. Cukup untuk saya katakan, biar ia menjadi sejarah dan kisah silam kami.

“Pada masa sama, ketika itu saya masih muda. Banyak keputusan dibuat di luar pertimbangan termasuk pengaruh daripada orang sekeliling. Namun, pada 2012 kami berbaik semula.

“Segalanya bermula apabila isteri Julfekar iaitu Min Yasmin mengatur pertemuan buat kami. Saya menyambut baik pelawaan berkenaan. Saya fikir tidak guna jika nak bergaduh lama-lama. Pengalaman dilalui cukup mematangkan saya. Semasa dalam pembabitan GV, saya menggunakan khidmat nasihat Julfekar dari segi vokal dan pemilihan lagu,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasamanya dengan Julfekar, Azharina mengakui keserasian mereka dalam lagu tidak boleh dinafikan.

Julfekar adalah komposer yang berjaya mengangkat nama Azharina menerusi lagu Elergi Sepi, Seandainya dan banyak lagi. Lagu itu masih segar dalam ingatan sehingga kini.

“Julfekar adalah individu yang tahu muzik dan kekuatan saya. Saya mengenalinya sejak usia 15 tahun. Jadi, dia tahu semua kisah dan perjalanan hidup saya. Disebabkan itu, saya menyerahkan sepenuhnya kepada dia.

“Saya juga percaya dengan sentuhan magisnya. Semua lagu yang dihasilkan termasuk lirik yang ditulis Min kena dengan jiwa dan cita rasa. Daripada 15 lagu yang diberikan, saya pilih lima yang terbaik,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu dalam album itu, Azharina berkata, liriknya dihasilkan berdasarkan kisah hidupnya sepanjang 32 tahun ini.

“Semua lagu dalam album ini cukup dekat dengan saya. Lirik daripada setiap lagu adalah cerita hidup saya. Ia bukan saja memaparkan perjalanan hidup, malah menggambarkan keseluruhan emosi dilalui.

“Sebagai contoh, lagu Cinta Terbahagia Dua, saya jiwai dengan baik dan menganggap cinta saya kepada keluarga dan kerjaya. Begitu juga dengan lagu Tetap Kan Abadi yang didedikasikan khas untuk anak angkat saya yang meninggal dunia, Rizki,” katanya.

Pada masa sama, Azharina berharap lagu daripada album itu diterima pendengar terutama stesen radio tempatan.

“Saya faham situasi dan trend muzik sekarang. Malah, apa yang saya perasan stesen radio juga ada kriteria tertentu

dalam memainkan lagu di corong radio. Apatah lagi penyanyi lama seperti saya, peluang mungkin tipis. Namun, saya tidak mahu mudah mengalah dan putus asa.

“Sama seperti penyanyi lain, saya meletakkan harapan tinggi agar lagu daripada album ini dipasang di radio. Tidak dapat semua, satu atau dua lagu pun sudah okey.

“Saya yakin dan berani katakan semua lagu mempunyai keunikan dan kualiti tersendiri. Kalau boleh, dengar dan nilaikan dulu sebelum membuat andaian awal,” katanya.

Sebagai permulaan, Azharina bakal mempertaruhkan lagu Cinta Terbahagi Dua sebagai single pertama yang dijangka dilancarkan awal tahun hadapan.

Azharina juga sudah merakamkan video muzik lirik lagu itu termasuk dua lagu lain iaitu Kesetiaanku dan Tetap Kan Abadi.
Kembali pada sifu Kembali pada sifu  Reviewed by Kakigosip on 08:14:00 Rating: 5
Powered by Blogger.