Berita Terkini
recent

Katharsis bakal fenomena

Sejak Search mengumumkan untuk merakamkan album terbaru sekitar April lalu, semua peminat tegar band rock nombor satu negara ini teruja.

Ini kerana kali terakhir Search tampil dengan album penuh ialah pada 2006 iaitu Gothik Malam Edan. Ramai berasakan itu adalah album terakhir Search dan tidak mungkin mereka akan merakamkan album lagi.

Akhirnya selepas berkampung di Studio Bsync Productions di Seputeh, Kuala Lumpur sejak Mei lalu, album ke-12 yang diberi judul Katharsis ini berada di pasaran pada 22 November lalu.

Seperti dijangka, Katharsis sememangnya dinanti-nantikan apabila berjaya dijual 4,000 unit selepas lima hari dipasarkan!

Dalam senario industri muzik tempatan kini yang lebih terarah kepada penghasilan single dan penjualan album dalam format digital, apa yang dicapai Search ini sebenarnya sesuatu yang mustahil.

Nampaknya peminat Search lebih selesa dengan cara konvensional untuk menghayati dan mendalami album mereka. Memegang, membelek, membaca dan menghayati ‘inlay’ album serta memainkan cakera padat (CD) di hi-fi, mini hi-fi atau dalam kereta lebih mengasyikkan.

Strategi Penerbit Eksekutif Katharsis Datuk Zaharul Annuar yang juga Presiden Pawana Music juga menjadi. Ideanya menerbitkan album ini dalam empat warna CD, reka bentuk ‘cover’ dan ‘inlay’ yang berbeza dalam cetakan pertama ini memberi dimensi baru dalam penghasilan album Search.

Ia nyata disambut baik peminat setia dan golongan ‘collectors’ yang membeli empat album ini sekali gus.

Saya juga antara yang terawal mendapatkan album ini kerana sudah lama mendambakan lagu terbaru Search. Walaupun sedikit terkilan kerana satu-satunya anggota Search yang terbabit dalam pembikinan semua album studio Search, Yazit Ahmad tidak lagi bersama mereka, tetapi Pae, pemuzik undangan yang diberi tanggungjawab mengisi kekosongan itu nyata tidak mengecewakan.

Pasti ramai merindui ‘tone’ dan ‘stroke’ permainan Yazit yang juga dikatakan ‘rhythm’ muzik Search, tetapi Pae tetap ‘masuk’ dengan Search walaupun teknik permainannya berbeza.

Mungkin ada yang tidak perasan, album ini juga menyaksikan kembalinya gandingan gitaris adik-beradik Din dan Kid selepas 19 tahun! Kali terakhir mereka bersama merakamkan album ialah pada 1998 menerusi album Bikin Wilayah.


EMPAT variasi kulit album.
Apa yang pasti, sebaik Katharsis yang dikatakan mungkin album terakhir Search ini dipasarkan, maklum balas daripada peminat cukup positif. Ada yang menyifatkan ia album terbaik Search, ada yang ‘menelaah’nya selama dua hari berturut-turut bagi mendapatkan ‘rasanya’ dan tak kurang juga yang tidak puas dengannya.

Secara peribadi, saya berasakan ini album Search yang dihasilkan sesuai dengan keupayaan dan kemampuan mereka dalam era sekarang. Mungkin bukan yang terbaik, tetapi ia tetap antara yang terbaik.

Tanpa Yazit, keserasian di antara Amy, Nasir, Din dan Kid tetap terserlah. Ini ditambah dengan kembalinya Datuk M Nasir selaku penerbit dan pencipta melodi mereka sejak dulu.

Ada yang mengkritik kenapa Search yang sudah berusia 36 tahun itu masih memerlukan M Nasir untuk merakamkan album. Jawapannya bukan Search tidak tahu atau tidak pandai, tetapi gabungan mereka biasanya menghasilkan melodi dan susunan muzik yang mempunyai jiwa.

Semuanya dihasilkan secara musyawarah di dalam studio dan ia berlaku sejak album sulung Cinta Buatan Malaysia.

Seperkara lagi yang membuatkan album ini ada jiwa dan semangat rock & roll ialah kerana ia dibiayai peminat setia Search iaitu Zaharul. Saya percaya Zaharul tidak mengharapkan keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada kepuasan dapat menerbitkan album band rock kegemarannya.

Pertama kali menghayati album ini mungkin belum menerbitkan apa-apa rasa. Namun, apabila diulang berkali-kali satu-persatu kepuasan itu datang.

Apa yang dipendam Search dalam tempoh 11 tahun tanpa sebarang album dikeluarkan dalam Katharsis ini. Paling menyeronokkan apabila menghayati permainan gitar Din dan Kid. Masing-masing memiliki keistimewaan apabila Din cukup hebat dengan ‘riff’ manakala Kid terkenal dengan solo yang lahir dari jiwa.

Saya tak dapat bayangkan jika salah seorang daripada mereka meninggalkan Search.

Secara peribadi, saya berasakan album ini adalah gabungan album Fenomena, Karisma dan Gema Di Timur Jauh dari segi susunan muzik serta mungkin semangatnya.

Mungkin tidak betul atau secara kebetulan, tetapi itulah yang saya rasa.

Katharsis mengandungi 10 lagu iaitu Gagalista, Sidang Kangaroo, Nama Yang Kau Lupa, Mitos Atau Nyata, Henjut, Sulalatus Salatin, Jubah Pengantin, Apologia, Embun dan Bebas Liar.

Sementara itu, hari ini Search juga akan tampil dengan Konsert Gegaran di Bulatan Bazarena, Seksyen 13, Shah Alam bersama Hujan dan band popular Indonesia, Nidji mulai jam 5 petang.

Peluang ini tidak harus dilepaskan kerana Search dikatakan bakal membawa tujuh lagu daripada album terbaru ini.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.