Berita Terkini
recent

Kanak-kanak dipatuk ketika tidur

 Muhammad Izz Fayat Sumardi, berusia dua tahun, sedang nyenyak tidur bersama ibunya di atas lantai dalam bilik rumah mereka di sini, bila tiba-tiba dikejutkan oleh tetamu tidak diundang – seekor ular tedung senduk sepanjang 0.9 meter.

Muhammad menjerit bila terkena patukan reptilia tersebut. 

Mujur ketika itu, bapanya baru saja pulang selepas selesai bertugas syif malam, untuk menguruskan hal anaknya itu.



Bapa mangsa, Sumardi Chek Had, 39,  berkata ketika kejadian kira-kira jam 7.15 pagi semalam dia baru hendak melelapkan mata selepas selesai bertugas, bila terdengar anak bongsu daripada empat beradik itu menjerit.   

"Dia menangis dan menjerit bila isteri saya lihat tapak tangan kirinya berdarah serta terdapat dua kesan patukan ular. 

"Panik dengan keadaan itu, saya terus membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun serta menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia meminta mereka menangkap ular yang berada di bawah katil," katanya ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan hari ini. 

Sumardi yang menjaga anaknya sepanjang malam di hospital, berkata kesakitan yang ditanggung anaknya itu ketara dalam tempoh 24 jam walaupun telah menerima rawatan kerana setiap kali terjaga dari tidur dia akan menangis.     

Menceritakan detik cemas itu, Sumardi berkata sepanjang perjalanan ke hospital, Muhammad menangis tanpa henti dan tangan kirinya kebiru-biruan serta badan lemah tidak bermaya.

"Di hospital, dia akan menangis apabila terjaga dari tidur, saya tahu dia dalam kesakitan, tetapi Alhamdulillah pagi ini sudah boleh tersenyum cuma tangan kirinya masih bengkak sehingga ke paras siku.     

"Doktor juga memaklumkan paru-paru dan buah pinggang anak saya tidak apa-apa," katanya. 

 Dalam pada itu, Sumardi berkata setelah kejadian tersebut tular di laman sosial, beberapa jiran mengadu rumah mereka di Bandar Baru Putra di sini pernah dimasuki ular tedung berkenaan.     

Sehubungan itu, beliau meminta pihak bertanggungjawab berusaha mengesan lubuk reptilia berkenaan supaya tiada lagi yang menjadi mangsa.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.