Berita Terkini
recent

'Kami isytihar Baitulmaqdis Timur ibu negara Palestin'

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Ahad mengesahkan hasrat negara itu untuk membuka kedutaannya di Baitulmaqdis Timur, yang diakui sebagai ibu negara Palestin oleh pemimpin Islam beberapa hari lalu, lapor agensi berita Xinhua.

"Kami telah mengisytiharkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin, tetapi kami belum dapat membuka kedutaan di sana kerana Baitulmaqdis kini sedang diduduki," kata Erdogan ketika mesyuarat bersama Parti Keadilan dan Pembangunan yang memerintah di wilayah Karaman di tengah Anatolia .

"Insya-ALLAH kita akan membuka kedutaan di sana," katanya memetik laporan Hurriyet Daily News.

Rancangan menempatkan kedutaan di Baitulmaqdis Timur diumumkan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu pada Khamis, sehari selepas pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam bertemu di Istanbul dan mengakui Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Langkah itu sebagai tindakan balas terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Langkah sepihak yang diambil Presiden AS Donald Trump pada 6 Disember itu, mencetuskan pertempuran ganas di wilayah Palestin serta bantahan di negara lain.

"Jangan cuba untuk ambil alih operasi Zionis (Israel). Jika berbuat demikian, risiko yang perlu ditanggung amatlah berat," amaran pemimpin Turki itu.

Status Baitulmaqdis menjadi antara isu utama berkaitan dengan proses perdamaian Israel-Palestin.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.