Berita Terkini
recent

Kacak, berbakat

Barangkali peminat filem Bollywood negara ini kurang mengenali aktor Gurmeet Choudhary, 33, namun di sana dia tersenarai antara 10 pelakon lelaki paling ‘panas’ di samping Shahid Kapoor, Hrithik Roshan, Sushant Singh Rajput, Tiger Shroff, Ranveer Singh, John Abraham, Varun Dhawan, Sidharth Malhotra dan Farhan Akhtar.

Jika aktres Bollywood dipuja kerana kejelitaan dan bakat lakonan mereka, ciri sama juga meletakkan 10 aktor itu dalam kategori yang menjadi ‘kegilaan’ jutaan peminat mereka di seluruh dunia.

Menurut kolumnis residen akhbar mingguan British, Eastern Eye iaitu Priya Mulji, nama mereka tersenarai sebagai pelakon paling panas kerana bertubuh tegap, seksi dan perut berotot.

Gurmeet banyak meluangkan masa di jimnasium. Tidak hairanlah hasil kerja keras dan kegigihannya itu, dia tampil bergaya dan seksi ketika beraksi dalam filem atau bergambar.

Aktor itu mula menceburi dunia glamor dengan membintangi drama Tamil, menjadi model dan penari. Kerjaya seninya terus berkembang dan mendapat perhatian peminat serta penggiat seni di India apabila dia menjayakan drama Ramayan (2008) dengan memegang watak sebagai Lord Ram. Karya itu turut dipentaskan di London dan Gurmeet dikekalkan sebagai teraju utama.



Kemudian pada 2011, dia terbabit dalam program realiti Pati Patni Aur Woh dan menerusi program itu, dia bertemu jodoh dengan isterinya yang juga pelakon, Debina Bonnerjee.

Ternyata rezeki Gurmeet terbuka luas untuk mencipta nama di Bollywood apabila Mukesh Bhaat menawarkannya membintangi filem thriller Khamoshiyan pada 2015 dan Wajah Tum Ho (2016).

Kini bapa kepada dua anak angkat perempuan itu berjaya mengumpul peminat di Afrika Selatan, United Kingdom dan Indonesia.

“Saya terpaksa terima dua tawaran filem (Khamoshiyan dan Wajah Tum Ho) sekali gus kerana bukan senang nak melangkah masuk ke Bollywood. Saya berasal dari Bihar, wilayah yang terletak di Timur India, bersempadan dengan Nepal. Jadi ia adalah peluang keemasan bagi saya.

“Apabila tawaran itu datang, tanpa berlengah saya terus menerimanya. Di Bollywood, Salman Khan adalah idola saya. Jutaan orang di seluruh dunia memujanya dan dia figura yang tepat untuk saya contohi,” katanya.

Awal tahun ini dia muncul dalam filem Laali Ki Shaadi Mein Laaddoo Deewana. Gurmeet memegang watak yang ‘manis’ dan ringkas sebagai ketua keluarga.

“Saya membentuk watak ini seperti lakonan Salman dalam filem Hum Aapke Hain Koun! dan Hum Saath Saath Hain. Kedua-duanya adalah filem berorientasikan kekeluargaan,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.