'Jumpa ramai orang, bantu jana idea menulis'


MEMBINA karier sebagai penulis skrip memerlukan Sofia J Rhyland bertemu dengan ramai individu yang pelbagai ragam.

Ini kerana, wanita berusia 46 tahun ini sangat mementingkan pembentukan karakter dalam setiap karyanya.

"Tak dinafikan, kebanyakan kita (penulis skrip) sangat lemah daripada segi membangunkan karakter. Sebab itu, saya sangat berterima kasih pada guru yang mengajar saya mengenai pentingnya karakter.

"Bila ada yang menentang mengenai pembangunan karakter itu, ia sebenarnya memberi a good feedback to you," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, apabila bertemu ramai individu dapat membantu merealisasikan pembentukan karakter dengan sebaiknya.

"Biasanya, saya lebih suka berjalan dan berjumpa orang ramai.

"Saya bukan saja perhati tetapi kalau berminat dengan watak tersebut saya akan duduk sama dan bertanya. Itu juga membantu saya mendapat idea untuk menulis skrip," katanya yang mula menulis skrip secara profesional pada 2007.

Tambahan Sofia, kekuatan jalan cerita adalah tarikan utama peminat menonton sesuatu karya dan sebagai penulis skrip beliau akan mengukuhkan bahagian pembinaan karakter dan plot.

Justeru, tidak hairanlah karya hasil garapannya mendapat tempat di hati penonton antaranya Bisik Pada Langit, Cinta Paling Agung, Ariana Rose, Asmara Luna, Syurga Nur, Carlos, Amukan Pocong, Awan Dania, Mr Boss Miss Stalker dan Ahli Mesyuarat Tingkap.

Bukan itu sahaja, pemenang Penulis Skrip Terbaik Anugerah Telenovela 2017 ini turut berkongsi kebolehannya melalui bengkel penulisan skrip secara percuma kepada bakat baru demi tujuan tersebut.

"Saya buat bengkel ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat. Sebabnya, dengan cara ini saya dapat peluang berjumpa dengan orang ramai sekali gus membantu saya.


"Satu lagi, kita pun memang perlukan pelapis. Macam tahun ini, saya dapat hampir 200 pelajar. Jadi, kalau kita tak bagi mereka peluang, siapa lagi nak bagi? Orang pun bagi kita peluang dulu. Jadi, why not?," katanya.

Cabar diri jadi pengarah
Terus mengembangkan karier seni, pemilik nama penuh Sofia Aliza Mohd Isa ini mencuba nasib sebagai pengarah menerusi filem The Millionaire.

The Millionaire merupakan filem kedua arahannya. Sofea juga pernah mengarah filem berkonsepkan kasih sayang dan kekeluargaan yang tidak dapat didedahkan judulnya, pada 2015.

Ketika ditanya kenapa mula mengarah filem selepas lama menulis skrip, Sofia berkata, impian itu sudah lama dinantikan dalam mencari kepuasan berkarya.

"I love writing, tapi apabila mengarah ia memberi kepuasan yang berbeza. Bila penulis skrip menjadi pengarah, ia lebih mudah untuk menyampaikan watak-watak ketika mengarah nanti,” katanya.

Tambahnya lagi, skrip The Millionaire pula adalah kesinambungan jalan cerita bagi mini siri, Jelma yang ditayangkan di laman web pada 2008. Tapi ketika itu, skrip itu tertangguh sebab berdepan kekangan kewangan dalam mencari dana.

“Alhamdulillah, akhirnya skrip ini dapat direalisasikan selepas hampir 10 tahun tersimpan

“Dan saya menjanjikan ia bukan filem seram biasa kerana akan terdapat banyak plot-plot menarik yang tak disangka,” katanya.

The Millionaire dilakonkan Raja Ilya, Harris Baba, Edika Yusof, Syafiq Nazri, Aman Shah dan Julia Ziegler dan sudah memulakan penggambaran sejak 6 Disember lalu.
'Jumpa ramai orang, bantu jana idea menulis' 'Jumpa ramai orang, bantu jana idea menulis' Reviewed by Kakigosip on 05:35:00 Rating: 5
Powered by Blogger.