Berita Terkini
recent

Jitra 'bergegar'

Gabungan persembahan bertenaga artis senior dan baru sempena Konsert Suria 10 Tahun yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-10 stesen radio Suria FM di Darulaman Park, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah, baru-baru ini berjaya menarik lebih 6,000 pengunjung.

Sambutan yang diadakan dengan kerjasama syarikat hartanah terbesar Kedah, BDB Land bukan sahaja menggamit masyarakat yang tinggal di sekitar Jitra dan Alor Setar, malah dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak turut hadir untuk berhibur sempena cuti hujung minggu serta mendapatkan informasi terkini berkenaan perumahan yang ditawarkan BDB Land.

Antara artis yang memeriahkan konsert berkenaan ialah Datuk Awie, Tomok, Black, Hazama, Aiman Tino, Wany Hasrita, Azlan The Typewriter, Bunkface, De’ Fam serta penyampai Suria FM.

Walaupun pada sebelah siangnya, cuaca sedikit hujan di kawasan Alor Setar dan Jitra, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat orang ramai untuk terus berpusu-pusu menyaksikan konsert berkenaan yang julung kali diadakan di Jitra.

Konsert bermula pada jam 8.45 malam itu diterajui dengan persembahan gimik pembukaan daripada tujuh penyampai Suria FM iaitu DJ Lin, Fizi Ali, Zulin Aziz, Brian, Bob Ringgo, Tyzo dan Suraya.

Persembahan artis dimulakan oleh band punk rock popular tanah air, Bunkface yang membawa tiga lagu bertenaga mereka seperti Malam Ini Kita Punya, Darah Muda dan juga medley Situasi dan Revolusi.

Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan persembahan artis baru popular seperti Wany Hasrita dan Aiman Tino sebelum Tomok, Black, Azlan The Typewriter dan Hazama mengambil alih pentas dengan persembahan bertenaga mereka, sekali gus membuatkan penonton tidak berganjak malah memenuhi segenap ruang di kawasan Darulaman Park itu.

Selain itu, kumpulan hip hop wanita tempatan yang mendapat jolokan Spice Girl Malaysia, De Fam turut tampil mengegarkan pentas dengan persembahan lincah menerusi medley With You dan Supergirls.

Penyampai Suria FM, Zulin Aziz dan Tyzo juga tidak terkecuali menonjolkan bakat mereka sebagai penyanyi apabila turut membuat persembahan menerusi single yang dihasilkan mereka sendiri iaitu Terbiar, Keliru dan Tak Lelah Bertahan.

Persembahan paling dinantikan pastinya daripada Datuk Awie yang menyampaikan tiga lagu iaitu Ingatkan Dia, Peronda Jaket Biru dan Terima Kasih.

Walaupun singkat, ternyata persembahan beliau memukau penonton hingga ramai yang ikut menyanyi bersamanya.

Dalam konsert sama, Tomok, Black, Azlan The Typewriter dan Hazama turut bergabung membuat persembahan ‘tribute’ kepada legenda rock tanah air iaitu Sweet Charity dan Wings.

Mereka menyampaikan tiga lagu Sweet Charity iaitu Musibah, Teratai dan Kamelia serta empat lagu Wings iaitu Misteri Mimpi Syakila, Jerangkung Dalam Almari, Bujang Senang dan Sejati.

Konsert yang mendapat sambutan hangat itu diakhiri dengan kemeriahan pertunjukan bunga api.

Sementara itu, Pengurus Program Suria FM, DJ Lin berkata, pihaknya sangat gembira melihat sambutan diberikan masyarakat sekitar Jitra yang hadir memeriahkan konsert berkenaan.

“Saya difahamkan ramai pendengar setia Suria FM yang hadir bukan saja dari Kedah, tetapi dari Perlis, Pulau Pinang, malah ada juga yang datang dari selatan tanah air seperti Batu Pahat, Melaka dan Johor Bahru.

“Apa yang lebih membuatkan kami terharu kerana mereka berada di sini sejak siang walaupun konsert hanya bermula pada jam 8.45 malam,” katanya.

Lin berkata, usaha dan latihan yang dilakukan Suria FM dalam menjayakan konsert itu juga dilihat tidak sia-sia.

“Alhamdulilah usaha dan latihan kami selama tiga minggu ini tidak sia-sia dan kami amat berpuas hati kerana dapat bertemu dan menghiburkan pendengar setia Suria FM.

“Jika begini sambutannya di Kedah, tidak mustahil kami akan kembali semula ke sini tahun depan sebagai penghargaan kepada pendengar setia kami di negeri ini,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.