'Jangan terus menghakimi saya'

PENYANYI Hafiz Hamidun, 33, akui 2017 yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi memberi cabaran luar biasa kepadanya kerana kontroversi perkahwinan dengan usahawan kosmetik, Joy Revfa, 30.

Katanya, walaupun ada manisnya tetapi penghujung 2017 agak mencabar apabila terus dikecam menerusi Facebook berkaitan perkahwinan dan perceraiannya.

“Impian saya untuk mendirikan rumah tangga akhirnya tercapai tetapi tidak menyangka berakhir dengan cara menyedihkan.

“Perkara ini di luar jangkaan kita. Walaupun saya cuba untuk menyelesaikannya, ia menjadi lebih rumit dan mendapat publisiti meluas.

“Ini bukanlah sesuatu yang baik tapi sepanjang tempoh itu, saya tidak salahkan sesiapa dan anggap ia satu pengajaran buat saya,” katanya kepada Harian Metro.

Hafiz berkahwin dengan usahawan kosmetik, Joy Revfa, 30, pada 1 Mei lalu dan bercerai talak satu pada 25 Oktober selepas melalui pelbagai kemelut dan kontroversi.

Katanya, berilah peluang kepadanya untuk berdepan situasi itu dan janganlah mudah menilai dan menghakimi dirinya.

“Saya anggap perkara ini satu pengajaran buat saya kerana banyak hikmahnya. Allah bagi saya ujian dan rasanya saya berjaya menempuhinya dengan baik.

“Walaupun pengakhirannya bukanlah menggembirakan, sekurang-kurangnya saya gembira, begitu juga keluarga dan mungkin ada hikmah disebaliknya.

“Ia satu cabaran luarbiasa bukan saja terhadap saya tetapi juga orang di sekeliling. Keluarga, kakitangan juga terkena tempias.

“Kami tak jangka berita ini mendapat liputan meluas, jadi semua dapat merasakan ujian ini sangat kuat. Peguam saya sendiri susah hendak kawal keadaan kerana bimbang jika terlebih ambil tindakan akan mendatangkan masalah kepada pihak lain.

“Namun saya bersyukur kerana dapat sokongan moral yang kuat daripada keluarga, kawan-kawan dan pelbagai pihak,” katanya.

Hafiz berkata, kebanyakan peminat mengecamnya pada peringkat awal kerana tidak mengetahui perkara sebenar.

“Saya pun mulanya tak tahu bagaimana hendak menjelaskan perkara sebenar. Lagipun saya tak boleh emosional kerana dapat nasihat daripada banyak pihak sebelum buat keputusan dan keluarkan kenyataan.

“Syukurlah semuanya sudah selesai. Saya tak serik untuk berkahwin lagi tapi bukanlah dalam masa terdekat. Mungkin dalam tempoh setahun lagi.

“Apapun saya tak tolak kalau ada jodoh dalam masa terdekat. Cuma kalau ada pilihan, biarlah saya selesaikan banyak perkara dan berada di landasan terbaik terlebih dahulu,” katanya.
'Jangan terus menghakimi saya' 'Jangan terus menghakimi saya'  Reviewed by Kakigosip on 20:33:00 Rating: 5
Powered by Blogger.